Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja Australia bakal dilarang guna YouTube

    SYDNEY, 30 JULAI – Australia akan menggunakan undang-undang media sosial negaranya untuk melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada laman penstriman video, YouTube demi melindungi mereka daripada ‘algoritma pemangsa’.

    Menteri Komunikasi Anika Wells berkata empat daripada sepuluh kanak-kanak Australia telah melaporkan melihat kandungan berbahaya di YouTube.

    “Kami mahu kanak-kanak mengetahui siapa mereka sebelum platform yang menentukan siapa mereka,” kata Wells dalam satu kenyataan.”Terdapat tempat untuk media sosial, tetapi tidak ada tempat untuk ‘algoritma pemangsa’ yang menyasarkan kanak-kanak.”

    Tahun lepas, Australia umumkan bahawa ia sedang merangka undang-undang yang akan melarang kanak-kanak daripada laman media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram sehingga mereka mencapai umur 16 tahun.

    Namun, kerajaan sebelum ini juga telah menyatakan YouTube akan dikecualikan daripada larangan memandangkan penggunaannya secara meluas dalam bilik darjah.

    “Golongan muda di bawah umur 16 tahun tidak boleh memiliki akaun di YouTube,” kata Perdana Menteri, Anthony Albanese kepada pemberita. “Mereka juga tidak akan memiliki akaun di Facebook, Instagram, Snapchat, TikTok, dan X antara platform lain. Kami mahu ibu bapa dan keluarga Australia tahu bahawa kami menyokong mereka.”

    Albanese berkata sekatan had umur mungkin sukar dilaksanakan dengan sempurna seperti sekatan sedia ada ke atas alkohol tetapi ia masih merupakan perkara yang harus untuk dilakukan.

    Sementara itu, Jurucakap YouTube berkata pengumuman berkenaan adalah seperti ‘pusingan U’ yang menggemparkan.

    “Pendirian kami tetap jelas: YouTube ialah platform perkongsian video dengan koleksi kandungan percuma, berkualiti tinggi, semakin banyak ditonton di skrin TV,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan. “Ia bukan media sosial.”

    Di atas kertas, larangan demikian adalah salah satu yang paling ketat di dunia. Tetapi tiada butiran lanjut tentang bagaimana peraturan itu akan dikuatkuasakan sekali gus membimbangkan pakar-pakar bahawa ia hanya satu perundangan simbolik yang sukar dikuatkuasakan.

    Undang-undang tersebut akan berkuat kuasa pada 10 Disember nanti.

    Banyak syarikat gergasi media sosial lain bakal berdepan denda sehingga AS$32 juta sekiranya gagal mematuhinya dan mereka menyifatkan undang-undang tersebut sebagai ‘kabur’, ‘bermasalah’ dan dibuat dengan ‘terburu-buru’. – AFP

    Remaja Australia bakal disekat guna Youtube. – Gambar Unsplash.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda