Remaja bunuh bapa, muat naik video

RENNES, 9 JUN – Seorang remaja di Perancis ditahan selepas menikam bapanya sehingga mati dan menyebarkan gambar ngeri kejadian itu di dalam talian.

Individu berusia 17 tahun di Ploeren, sebuah bandar 6,000 penduduk di Brittany, dilaporkan menelefon polis Sabtu lalu.

Peguam pendakwa, Francois Touron, dalam satu kenyataan, berkata remaja itu memaklumkan polis dia baru menikam bapanya sehingga mati di kediaman keluarga berkenaan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, polis menemui mayat lelaki dipenuhi kesan tikaman pisau dan menahan anak lelakinya yang didapati di bawah pengaruh alkohol, dengan kandungan yang amat tinggi.

Bagaimanapun, ketika ditahan, beliau berkata remaja lelaki itu sudah menghantar video perbuatan jenayahnya kepada 40 pengguna di media sosial.

Berdasarkan pasukan penyiasat, remaja itu mabuk selepas menghadiri parti dan pulang ke rumah, di mana bapanya tinggal sendirian selama beberapa minggu selepas isteri dan dua anaknya berpindah.

Difahamkan, remaja itu masuk ke rumah dan mengambil dua bilah pisau dari dapur, sebelum mengejutkan bapanya yang sedang tidur dan menikamnya.

Berdasarkan keterangan kepada polis, remaja itu bertindak sedemikian kerana ingin menamatkan kelakuan ganas bapanya terhadap keluarga yang berpunca daripada arak. – AFP