NAIROBI, 7 MEI – Mahkamah Kenya pada hari ini mendenda empat orang, termasuk dua remaja Belgium, lebih AS$7,000 kerana cuba menyeludup beribu-ribu semut hidup keluar dari negara itu.
Kes itu telah mendapat perhatian besar selepas Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) menuduh keempat-empat mereka terlibat dalam ‘kegiatan melanun bio.’
David Lornoy dan Seppe Lodewijckx, kedua-duanya 18 tahun dari Belgium, Duh Hung Nguyen dari Vietnam dan Dennis Nganga dari Kenya semuanya mengaku bersalah memiliki semut tersebut, tetapi menafi cuba menyeludupnya.
Lornoy dan Lodewijckx telah ditangkap kerana memiliki 5,000 ratu semut yang disimpan dalam 2,244 tiub di Daerah Nakuru, sekitar 160 kilometer dari ibu negara Nairobi.
Duh dan Nganga ditemui dengan semut yang disimpan dalam 140 picagari yang dibungkus dengan bulu kapas dan dua bekas, menurut kertas pertuduhan yang dilihat oleh AFP.

Kedua-dua kes itu berasingan tetapi keempat-empatnya dibicarakan bersama.
Lornoy digambarkan sebagai ‘penggemar semut’ yang memelihara koloni di rumah di Belgium dan merupakan ahli kumpulan Facebook yang dipanggil ‘Semut dan Penjagaan Semut,’ menurut laporan hukuman itu.
Dia memberitahu penyiasat dia tidak sedar bahawa mengangkut semut adalah haram.
Polis telah meletakkan nilai semut yang diambil oleh warga Belgium itu pada satu juta syiling (AS$7,740).
Rampasan itu termasuk spesies Messor cephalotes yang jarang ditemui, seekor ratu semut yang kini dijual pada harga sekurang-kurangnya AS$99, menurut laporan mahkamah.
Suspen ‘berniat menyeludup semut berkenaan ke pasar haiwan peliharaan eksotik bernilai tinggi di Eropah dan Asia, di mana permintaan untuk spesies serangga unik semakin meningkat, katanya dalam satu kenyataan. – AFP