MADRID, 28 JULAI – Polis Sepanyol kelmarin sedang menyiasat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej bogel palsu rakan-rakan sekelas perempuan dan menjualnya.
Siasatan itu bermula selepas 16 pelajar perempuan di sebuah institusi pendidikan di wilayah Valencia tampil membuat aduan mengenai imej mereka yang diubah suai menggunakan AI dan disebarkan di media sosial serta internet.
Aduan pertama difailkan pada Disember lalu oleh seorang remaja perempuan yang mendakwa sebuah video dan beberapa gambar palsu menunjukkan dirinya dalam keadaan ‘bogel sepenuhnya’ telah dimuat naik ke akaun media sosial yang diwujudkan menggunakan namanya sendiri.
Selepas lebih banyak laporan diterima, polis mula mengesyaki pelaku adalah pelajar dari institusi sama, menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Melalui penjejakan alamat IP yang digunakan untuk mencipta akaun-akaun palsu tersebut, siasatan membawa polis ke rumah remaja terbabit yang kini disiasat atas ke-salahan berkaitan rasuah terhadap golongan bawah umur.
Ia bukan kali pertama pihak berkuasa Sepanyol mengesan penggunaan teknologi AI untuk menghasilkan gambar lucah rekaan melibatkan remaja bawah umur.
Pada Mac lalu, kerajaan Sepanyol mengumumkan cadangan rang undang-undang baharu untuk menjadikan penciptaan imej seksual palsu tanpa izin melalui AI sebagai satu kesalahan jenayah.
Madrid menyatakan bahawa draf undang-undang itu adalah yang pertama seumpamanya di Eropah, namun ia belum diluluskan oleh parlimen. – AFP
