ISTANBUL, 8 SEPT – Dua anggota polis terbunuh, manakala dua lagi cedera dalam serangan tembakan di sebuah balai polis berhampiran bandar Izmir, Turkiye hari ini dan seorang suspek berusia 16 tahun telah ditahan, menurut kenyataan seorang menteri.
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, berkata serangan ‘kejam’ terhadap balai polis di Balcova, sebuah daerah di sebelah barat bandar peranginan itu, telah meragut nyawa dua pegawai dan seorang lagi cedera parah.
“Suspek dalam kejadian ini, E.B., berumur 16 tahun, telah ditahan dan siasatan telah dibuka,” tulisnya di X.
Bercakap kepada media Turkiye di lokasi kejadian, gabenor Izmir, Suleyman Elban, berkata suspek tinggal di jalan yang sama dengan balai polis dan cedera semasa ditangkap.
“Suspek pembunuhan tidak mempunyai rekod jenayah atau tangkapan terdahulu bagi mana-mana kesalahan,” katanya kepada stesen televisyen swasta NTV, sambil menambah remaja itu “ditangkap dalam keadaan cedera”.
Punca serangan ke balai polis itu masih tidak jelas, tetapi rakaman yang disiarkan oleh laman berita Gercek Gundem menunjukkan seseorang memakai penutup muka, baju hitam dan seluar pucat berjoging di kaki lima sambil membawa senapang dan kemudiannya memasuki sebuah bangunan.
Rakaman lain yang tersebar luas menunjukkan suspek didakwa terbaring di kaki lima dan diberi rawatan oleh pasukan paramedik. Dia kelihatan sedar, tetapi bahagian belakang seluarnya berlumuran darah dan beberapa kelongsong peluru berada di atas tanah. – AFP


