Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja ditikam 50 kali, dibakar hidup-hidup di Marseille

    MARSEILLE, 6 OKT – Seorang budak lelaki berusia 15 tahun ditikam 50 kali dan dibakar hidup-hidup minggu ini di bandar Marseille di selatan Perancis dalam satu kes yang disyaki berkaitan dengan keganasan dadah, kata pendakwa raya hari ini.

    Bercakap kepada pemberita, pendakwa raya Marseille, Nicolas Bessone berkata remaja itu dibunuh pada Rabu, menyifatkan kes itu sebagai salah satu kekejaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

    Marseille, bandar kedua terbesar di Perancis tetapi juga salah satu yang termiskin, dibelenggu oleh keganasan berkaitan dadah.

    Bessone berkata bahawa mangsa-mangsa dan dalang berkaitan keganasan seumpama itu semakin muda.

    Bandar itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan peperangan wilayah untuk mengawal pasaran dadah yang sangat menguntungkan antara pelbagai puak termasuk DZ Mafia.

    Remaja itu telah diupah oleh seorang banduan berusia 23 tahun untuk menakut-nakutkan pesaing dengan membakar pintunya, kata pendakwa raya sambil menambah dia telah dijanjikan 2,000 euro.

    Remaja itu bagaimanapun telah dikesan oleh ahli kumpulan saingan yang kemudiannya menikamnya berulang kali sebelum membakarnya, tambahnya. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda