Monday, January 27, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja Indonesia enggan kahwin jejas industri perkahwinan

    JAKARTA,11 DIS – Industri perkahwinan di Indonesia merasakan perubahan apabila jumlah perkahwinan di Indonesia merudum sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    Tahun lalu, kepulauan itu hanya menyaksikan 1.57 juta pasangan mengikat tali pertunangan, menurut Statistik Indonesia (BPS), susut lebih 2 juta pada 2018.

    Sementara itu, bilangan individu yang berkahwin muda terus berkurangan kepada 30.61 peratus tahun lepas daripada 44.45 peratus yang direkodkan sedekad lalu.

    Manakala, bilangan individu muda yang belum berkahwin pula telah meningkat kepada 68.29 peratus pada 2023 daripada 54.11 peratus pada 2014.

    Gambar Freepik

    Pengerusi Persatuan Penganjur Perkahwinan Indonesia (Hastana), Yunarsih berkata perkahwinan yang kurang sejak beberapa tahun lalu telah menjejaskan industri.

    “Hotel dan penganjur perkahwinan untuk skala pertengahan ke atas telah terjejas (oleh aliran ini),” katanya kepada The Jakarta Post baru-baru ini, sambil menambah bahawa pada tahun-tahun lalu penganjur akan melihat musim puncak sekitar akhir tahun, tetapi tahun ini ia agak hambar.

    Ramai rakyat Indonesia melihat perkahwinan sebagai beban, dengan lebih ramai orang dewasa muda memilih untuk meneruskan kerjaya, pendidikan atau bersosial dan melancong, menurut Kompas.

    Gambar Freepik

    Sesetengah pasangan muda juga memilih untuk tidak mempunyai anak manakala yang lain mencadangkan seseorang boleh hidup tanpa berkahwin secara rasmi.

    Sementara yang lain menyatakan kos yang tinggi untuk mempunyai keluarga setelah menghadapi masalah kos sara hidup.

    Menurut BPS lagi, purata usia perkahwinan di Indonesia meningkat kepada 22.3 tahun pada tahun lalu daripada 20 tahun pada 2012, menunjukkan semakin ramai yang menangguhkan perkahwinan.

    Tutus Wahyu, penganjur perkahwinan di Surabaya berkata trend itu telah menjejaskan perniagaannya dan juga peniaga lain di wilayahnya sambil menambah tahun ini mencatatkan prestasi paling rendah berbanding tahun-tahun pasca pandemik sebelumnya.

    Gambar Freepik

    Perubahan trend dan pilihan gaya hidup golongan muda digabungkan dengan ekonomi yang semakin lemah di negara ini, kata Tutus, telah banyak mempengaruhi keengganan mereka untuk berkahwin.

    Ditubuhkan pada 2016, perniagaan Tutus dengan nama Samakita Organizer biasanya mengendalikan 150 pelanggan setahun tetapi kini menurun 30 peratus tahun ini berbanding jumlah biasa.

    Tambahan lagi, beliau juga mencatatkan jumlah pembatalan tertinggi pernah direkodkan, iaitu lima hingga enam pelanggan pada tahun ini.

    Gambar Unsplash

    Natasza Kurniawan, ketua pemasaran di Bridestory, sebuah pasaran perkahwinan di Indonesia, pula berkata beliau tetap optimis industri perkahwinan masih boleh berkembang di negara ini di tengah-tengah penurunan jumlah perkahwinan.

    Pelawat acara di pameran perkahwinan Bridestory kekal stabil pada 100,000 orang, manakala laman web dan platform aplikasinya masing-masing menerima purata 1.4 juta lawatan dan 390,000 lawatan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

    “Perkahwinan di Indonesia masih dianggap suci dan penting. Oleh itu, ia tetap dinanti-nantikan dan diutamakan oleh pengantin lelaki dan keluarga mereka,” katanya kepada The Jakarta Post.

    Sesetengah majlis perkahwinan masih menggunakan suasana tradisional di mana terdapat beberapa siri acara yang melibatkan ahli keluarga, menghasilkan susunan yang besar, katanya.

    Bagaimanapun, syarikat itu menyatakan bahawa perkahwinan yang diurus secara intim kekal konsisten menjadi konsep paling digemari pasangan suami isteri dari suku pertama hingga ketiga tahun ini.

    Gambar Freepik

    Perkahwinan intim biasanya memberi tumpuan kepada kualiti berbanding kuantiti dan membabitkan kos yang lebih rendah.

    Natasza berkata bahawa perkahwinan intim adalah lebih peribadi dengan perincian dan pelarasan yang mencabar agar sesuai dengan pilihan pelanggan.

    Tetapi Tutus menegaskan bahawa trend perkahwinan intim boleh menjejaskan margin keuntungan untuk penganjur perkahwinan, memandangkan bajet yang lebih kecil diperlukan.

    Bagaimanapun, dia juga menganggap trend itu sebagai peluang untuk menarik lebih ramai pasangan muda.

     “Perkahwinan intim adalah lebih menjimatkan kos, jadi ia boleh menarik pasangan muda yang mengutamakan nilai (masa yang diluangkan) bersama yang rapat,” katanya.

    Tutus percaya bahawa pasaran daripada generasi muda, termasuk generasi milenium – mereka yang lahir antara 1981 hingga 1996 – masih boleh memberikan industri pandangan yang optimistik.

     “Pendekatan kepada generasi milenial memerlukan kreativiti, kecekapan dan komunikasi peribadi. Fokus pada mencipta nilai tambah melalui perkhidmatan yang disesuaikan dengan peribadi dan promosi yang berkaitan berdasarkan keutamaan digital mereka. Ini akan membantu penganjur perkahwinan kekal berdaya saing di tengah-tengah perubahan trend pasaran,” katanya mengakhiri.

    Tammy Vanya, penganjur perkahwinan yang beroperasi di kawasan Jakarta yang lebih besar, Bandung, Jawa Barat dan Bali, berkata prospek industri itu kekal cerah.

    Perniagaannya, Marteé Wedding Planner, telah beroperasi selama lima tahun dan kekal berdaya tahan walaupun menghadapi cabaran industri dengan memberitahu bahawa kunci untuk bertahan datang dari pendekatan peribadi dan mengutamakan emosi pelanggan. – ANN/The Jakarta Post

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda