Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja jadi perdana menteri sehari

    HELSINKI, 7 OKT – Perdana Menteri Finland Sanna Marin menjalani hari yang kurang sibuk hari ini selepas menyerahkan kuasa kepada seorang remaja berusia 16 tahun sebagai sebahagian daripada kempen untuk mempromosi hak wanita.

    Aava Murto, dari Vaasky di selatan Finland, berkata beliau mempunyai ‘hari yang menyeronokkan’ tatkala beliau berdepan dengan media di tangga parlimen selepas bertemu dengan menteri keadilan.

    Murto menambah beliau ‘mempelajari banyak perkara baharu mengenai perundangan.’

    Pada tengah hari, pelajar yang aktif berkempen mengenai isu iklim dan hak asasi manusia dijangka bertemu dengan ahli parlimen dan menteri pembangunan dan perdagangan asing.

    Mesej beliau kepada pembuat keputusan adalah budak perempuan “perlu sedar betapa pentingnya mereka dan mereka juga boleh sama mahir dalam teknologi seperti budak lelaki,” beritahunya kepada AFP.

    “Saya fikir orang muda boleh mengajar orang dewasa supaya menjadi lebih inovatif dan memikirkan lebih mengenai masa depan,” tambahnya.

    Pertukaran peranan itu adalah sebahagian daripada kempen ‘Girls Takeover’ oleh badan kebajikan hak kanak-kanak Pelan International, yang bertujuan menambah kesedaran mengenai kemahiran dan peluang digital budak perempuan dalam industri teknologi dan menekankan masalah gangguan internet ke atas wanita. – AFP

    Aava Murto, 16 tahun, bercakap kepada media di Helsinki, Finland kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda