Monday, October 14, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja Jerman jejak kesalahan parkir sebagai hobi

    GRÄFENHAINICHEN, 14 OKT –  Niclas Matthei yang berusia 18 tahun telah dikenali sebagai ‘Pakar Pelapor’ di negara asalnya di Jerman selepas membantu melaporkan beribu-ribu pesalah parkir kepada polis.

    Menurut laporan Oddity Central, Niclas Matthei, seorang lelaki muda dari bandar Gräfenhainichen, di wilayah Saxony-Anhalt, Jerman, menjadi tajuk utama beberapa media terkemuka awal tahun ini tentang hobinya yang luar biasa iaitu menunggang basikalnya mengelilingi bandar, merakam kesalahan parkir dan menghantar bukti kepada polis tempatan.

    Dia memanggil dirinya Anzeigenhauptmeister atau ‘Pakar Pelapor’ dan dia mendakwa bahawa dia hanya menjalankan tugas siviknya.

    Dengan mengaku dirinya sebagai ‘ketua wartawan’, dia arif tentang peraturan tempat letak kereta di dalam dan luar Jerman. Jadi dia segera membuat laporan dengan merakam gambar kereta pesalah kepada polis tempatan untuk tindakan lanjut dengan telefon pintarnya semasa membuat pusingan harian.

    Menurut rekodnya sendiri, Matthei telah membuat lebih 4,000 laporan polis tahun lalu, yang mengakibatkan jumlah denda terkumpul di seluruh negara sebanyak AS$154,227.

    Kebanyakan ‘mangsanya’ berada di Saxony-Anhalt, tetapi selepas melihat popularitinya melonjak akibat liputan media nasional, dia memutuskan untuk menjalankan pemburuannya di seluruh negara.

    Seperti yang awda boleh bayangkan, Niclas tidak begitu popular dengan pemandu. Ada kalanya dia menerima reaksi ganas seperti diugut atau ditumbuk di muka, namun itu tidak menghalangnya daripada misinya malah menjadikannya semangatnya lebih kuat. Dia mendakwa bahawa apa yang dia mahukan ialah peraturan tempat letak kereta mesti dihormati dan pesalah mesti dihukum.

    “Apa yang saya mahu ialah peraturan lalu lintas jalan raya dikuatkuasakan kerana orang fikir mereka boleh meletak kereta mengikut sesuka hati mereka,” kata Niclas Matthei kepada tabloid Jerman Der Spiegel.

    Tindakannya itu menerima maklum balas bercampur-campur daripada orang ramai, dengan beberapa pujian kerana melaporkan kesalahan yang sering diabaikan oleh polis, dan ada juga yang lain menggelarnya ‘pengganggu’ apabila pesalah meletak kereta dalam keadaan terpaksa. Malah Datuk Bandar Gräfenhainichen mengkritik remaja itu kerana menghalang kerja pihak berkuasa tempatan dengan laporannya yang sangat banyak.

    Menariknya, ibu Niclas tidak begitu menyokong tindakannya itu. Ibunya memberitahu wartawan bahawa dia dibuli di sekolah dan bahawa tindakannya melaporkan kesalahan parkir kini merupakan sejenis tindakan membalas dendam.

    “Ibu saya mendakwa saya tidak faham apa yang saya lakukan. Dia salah. Saya terima sahaja. Hidup ini berbahaya. Saya telah pun membuat keputusan untuk menjadi pemberi maklumat supaya saya boleh melaporkan sesuatu,” ujar Niclas. – Agensi

    Beberapa tangkap layar dari youtube menunjukkan tindakan Niclas. – Oddity Central
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda