LONDON, 10 JULAI – Seorang remaja lelaki ditahan hari ini selepas seorang guru di sebuah sekolah di barat England ditikam, kata polis, ketika United Kingdom (UK) menangani lonjakan dalam jenayah pisau.
Sekolah itu serta-merta ditutup dan polis dihubungi selepas kejadian yang berlaku sejurus 9 pagi, kata guru besar Sekolah Tewkesbury, Kathleen McGillycuddy.
“Polis telah menahan seorang remaja lelaki berhubung insiden ini,” tambahnya dalam satu kenyataan di laman web sekolah itu.
Polis berkata mangsa telah dibawa ke hospital ‘dengan disyaki kesan luka tikaman’, tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.
UK telah menyaksikan peningkatan dalam jumlah tikaman yang dilaporkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun keganasan lebih kerap berlaku di luar kawasan bandar.
Tewkesbury, lokasi kejadian hari ini merupakan sebuah bandar pasar zaman pertengahan yang terletak di daerah luar bandar Gloucestershire.
Di England dan Wales, terdapat kira-kira 45,000 jenayah melibatkan pisau atau alat tajam pada tahun itu sehingga akhir Mac 2022, menurut angka kerajaan.
Angka tersebut mewakili peningkatan 9 peratus pada tahun sebelumnya dan peningkatan 34 peratus pada 2010/11. – AFP


