Monday, April 14, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja lelaki ditemukan lemas di Tasek Lugu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima panggilan menyelamat orang lemas iaitu seorang remaja lelaki di kawasan Tasek Lugu, petang kelmarin.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, menyatakan sebuah jentera dari Balai Bomba Jerudong telah dikerahkan dengan lima orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Penolong Pegawai Balai, Awang Mohd Hairul Azman bin Mohd Harun Tee.

    Apabila sampai di tempat panggilan, siasatan dijalankan mendapati seorang mangsa lelaki warga tempatan berusia 17 tahun telah dijumpai oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    Anggota bomba dan penyelamat membantu mengangkat mangsa bersama orang awam ke tempat selamat untuk diperiksa oleh Perkhidmatan Kecemasan Ambulans Perubatan (EMAS) yang berada di tempat kejadian. Mangsa seterusnya dibawa oleh pihak EMAS ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas.

    Turut hadir di tempat kejadian adalah Pasukan Polis Diraja Brunei dengan keramaian empat anggota yang diketuai oleh ASP Shahassanal Izzat bin Haji Sahbulbahri dari Balai Polis Sengkurong.

    Sehubungan itu, JBP menasihatkan orang ramai yang menjalankan riadah di air untuk memastikan mereka sentiasa meningkatkan kewaspadaan dan langkah berhati-hati semasa membuat aktiviti-aktiviti terutama aktiviti mandi di tasik, sungai atau pantai, memastikan untuk tidak membuat sebarang aktiviti mandi-manda jika keadaan cuaca tidak menentu dan hendaklah peka akan keadaan cuaca serta pasang surut air sungai atau pantai, atau dalam keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan iaitu kurang sihat.

    Orang ramai juga dinasihatkan supaya memastikan memakai jaket keselamatan dan memasang tali pinggang keselamatan semasa hendak menyelamatkan mangsa.

    Seorang remaja lelaki ditemukan lemas di Tasek Lugu, kelmarin. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda