Tuesday, September 24, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja maut ditikam, larangan senjata Zombie dikuatkuasakan di Woolwich

    LONDON, 23 SEPT – Seorang remaja lelaki maut akibat tikaman dalam kejadian di Woolwich, tenggara London, hari ini, beberapa hari sebelum larangan penggunaan senjata gaya zombie dikuatkuasakan di seluruh negara itu bagi mengurangkan jenayah melibatkan senjata tajam.

    Menurut kenyataan Polis Metropolitan, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden kekecohan di kawasan perumahan pada kira-kira 5:35 petang waktu tempatan, sebelum menemui remaja tersebut yang mengalami kecederaan parah. Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

    Walaupun butiran lanjut belum didedahkan, kejadian itu menambah kebimbangan terhadap peningkatan jenayah melibatkan pisau, khususnya dalam kalangan golongan muda.

    Statistik menunjukkan sebanyak 50,510 kesalahan melibatkan senjata tajam direkodkan di England dan Wales dalam tempoh 12 bulan sehingga Mac lalu, meningkat empat peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Daripada jumlah keseluruhan pembunuhan yang direkodkan dalam tempoh tersebut, 43 peratus melibatkan penggunaan pisau atau alat tajam, mencatatkan peningkatan dua peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

    Mulai esok, undang-undang baharu akan mengharamkan pemilikan pisau jenis zombie dan parang. Sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan jenayah senjata, kempen amnesti dan pampasan turut dilancarkan bagi membolehkan orang ramai menyerahkan senjata berbahaya tersebut. Pisau berbilah melebihi lapan inci dan yang mempunyai pinggir bergerigi, sering digunakan oleh kumpulan jenayah, termasuk dalam larangan itu. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda