RAMALLAH, 5 SEPT – Seorang remaja lelaki Palestin berusia 19 tahun ditembak mati oleh tentera Israel hari ini di Qabatiya, selatan Jenin di Tebing Barat.
Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan, berkata Taher Mohamed Zakarneh ditembak mati oleh tentera Israel di Qabatiya.
Mangsa meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital akibat terkena tembakan di kepala, kaki kanan dan betis kiri selain mengalami kesan melecur.
Tentera Israel berkata ia ‘menjalankan operasi memerangi keganasan di bandar Jenin dan di bandar Qabatiya serta menahan lima individu dikehendaki yang disyaki melakukan kegiatan pengganas’.
“Semasa serbuan itu, rusuhan ganas tercetus. Perusuh membaling batu, bahan letupan dan bom molotov ke arah pasukan selain kedengaran tembakan di kawasan berkenaan.
“Askar kemudian menyerang balas dengan tembakan peluru hidup, beberapa tembakan dikenal pasti kena pada sasaran,” katanya.
Seramai 17 individu ditangkap dalam serbuan semalaman di seluruh Tebing Barat, kata tentera Israel.
Semalam, lelaki bersenjata warga Palestin dan Arab-Israel mencederakan enam askar Israel dan seorang awam apabila mereka menyerang sebuah bas berhampiran bandar Tubas di Tebing Barat. – AFP
