HWASEONG, KOREA SELATAN – Di sawah padi Korea Selatan, juara perlumbaan dron dunia remaja sedang bersiap sedia untuk mempertahankan kejuaraannya dalam salah satu sukan teknologi paling pantas dan canggih di dunia.
Namun pada usia 18 tahun, Kang Chang-hyeon bimbang dia sedang melepasi puncak kejayaannya untuk bertanding pada peringkat terbaik.
Sebaik sahaja menerima isyarat, Kang dan tiga rakan sepasukannya menerbangkan dron mereka ke udara yang meluru menerusi padang berhalang yang didirikan di kawasan kosong di Hwaseong, selatan Seoul.
Satu-satunya pergerakan manusia adalah jentikan jari di alat handset, yang digunakan oleh juruterbang untuk mengawal pesawat udara sementara memakai gogal alam maya yang memberikan mereka pemandangan dron dari udara untuk laluan perjalanan.
Tiga pusingan dan kira-kira satu minit kemudian, perlumbaan berakhir dan analisis teknikal bermula dalam khemah, dengan juruterbang, jurulatih, juruteknik dan ibu bapa mengkaji data penerbangan.
Sama seperti Formula Satu, penerbangan dron bergantung pada ketepatan kejuruteraan dan kemahiran juruterbang.
Dron perlumbaan ditempah khas mengikut pesanan oleh peserta perlumbaan dan pasukan mereka, dan boleh mencecah kelajuan sehingga 170 kilometer sejam. Namun perlumbaan adalah amat sengit, dengan masa diukur dalam 1,000 sesaat.
Dan ia merupakan permainan juruterbang muda.
Tindakan refleks kilat, penglihatan tajam dan latihan berjam-jam merupakan kunci kepada kejayaan, menurut Kang.
Menurutnya, dia telah pun menghadapi kemunduran dari segi fizikal dengan ketibaan generasi baharu pesaing lebih muda, ada di antara mereka masih belajar di sekolah rendah.


“Kualiti berkenaan adalah yang terbaik dalam tahun-tahun remaja hingga pertengahan,” kata juruterbang berkenaan.
Kang berkata tindakan refleksnya ‘jelasnya’ sudah berkurangan dengan setiap tahun yang berlalu, dan dia tidak mengetepikan akan bersara sebelum berusia 20 tahun.
“Adalah amat sukar untuk bersaing menentang mereka dalam umur saya yang semakin meningkat dewasa,” katanya.
“Saya fikir saya mungkin tidak dapat bertanding selepas tahun ini.”
Seorang remaja perempuan berusia 12 tahun telah pun menyasarkannya sebagai pesaing untuk ditewaskan.
“Apabila saya pertama kali bertemu dengan Kang Chang-hyeon, saya kagum dengannya dan ia terasa seperti mimpi,” kata Jeong Ryeo-won, selepas mengambil bahagian dalam pusingan liga di daerah selatan Hadong.
Namun sekarang dia ‘benar-benar’ mahu mengalahkannya. “Dia adalah contoh teladan saya, maka saya berharap dapat bersaing menentangnya dalam kejohanan dunia, dan menang.”
Hanya tiga tahun selepas pertama kali menerbangkan dron mainan, Kang, pada usia 16 tahun, memenangi kejuaraan dunia pada kejohanan di China pada 2019, di mana juurterbang Korea Selatan menguasai sukan tersebut.
“Mengawal perasaan tenang merupakan kunci kepada kemenangan dise-babkan keputusan dalam sekelip mata boleh mengubah keputusan perlumbaan,” katanya.
“Meminimumkan kesilapan anda sementara sentiasa tenang tanpa menghirau siapa yang berada di depan anda adalah faktor penting untuk menang.
Sekolah tinggi Kang di kawasan pedalaman daerah Hongseong telah berusaha untuk mengambil peluang memanfaatkan kejayaannya dengan mempromosi dirinya sebagai sekolah dron pakar – dengan Kang sebagai dutanya – menawarkan kursus dalam penerbangan demi menarik lebih ramai pelajar.
Namun pandemik koronavirus tidak memberikannya peluang untuk mempertahankan kejuaraan pada kemuncak bakatnya, apabila Persekutuan Penerbangan Antarabangsa yang berpangkalan di Switzerland, badan dunia untuk sukan udara, dipaksa membatalkan kejohanan dunia 2020.
“Saya mungkin bertanding dengan betul-betul cemerlang tahun lalu,” katanya.
Seperti pemuda Korea Selatan lain yang menikmati kejayaan global, dari bintang pop BTS kepada penyerang Spurs Son Heung-min, perkhidmatan tentera wajib menghambat perjalanan sukannya.
Korea Selatan masih berperang dari segi teknikal dengan Korea Utara, dan semua lelaki Korea Selatan yang sihat mesti menghabiskan kira-kira 18 bulan dalam khidmat tentera sebelum mereka berusia 30 tahun.
Satu-satunya pengecualian adalah pemenang pingat Olimpik dan dan juara Sukan Asia, selain pemenang beberapa pertandingan muzik klasikal antarabangsa.
Namun kemahiran Kang mungkin ‘amat bernilai’ untuk angkatan bersenjata, kata jurulatihnya Kim Jae-hong, yang mengetuai pasukan kebangsaan pada kejohanan dunia 2019.
Tentera Korea Selatan berjumlah 555,000 adalah jauh lebih rendah berbanding 1.28 juta tentera Korea Utara.
Namun Korea Selatan mempunyai keunggulan teknologi termasuk, menurut kementerian pertahanan, armada kira-kira 800 dron untuk tujuan latihan dan uji kaji pertempuran.
“Misi pengawasan unit dron pada asasnya adalah berdasarkan pengawalan dron dengan kamera, yang sama dengan dron perlumbaan,” kata jurulatih.
“Kang dan pelumba lain boleh menyumbang besar kepada misinya sementara mengekalkan kemahiran kawalan dron mereka.” – AFP