NOGENT, 13 JUN – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun telah didakwa atas kesalahan membunuh seorang pembantu pengajar yang ditikam hingga mati awal minggu ini, menurut pihak pendakwa raya kelmarin, ketika sekolah-sekolah di seluruh Perancis mengadakan seminit hening.
Pelajar sekolah menengah itu ditahan pada Selasa selepas didakwa menikam mati seorang pengawas sekolah – seorang ibu berusia 31 tahun kepada seorang anak kecil – semasa pemeriksaan beg di bandar Nogent, timur Perancis. Remaja berkenaan, Quentin G, didakwa atas kesalahan “membunuh seseorang yang berada dalam kedudukan berkuasa,” yang menurut undang-undang Perancis dianggap sebagai keadaan yang memberatkan hukuman dan telah diarahkan untuk ditahan reman.
Dia juga dinamakan sebagai individu berkepentingan dalam kes serangan terhadap seorang anggota gendarmerie ketika ditahan sejurus selepas kejadian tikaman tersebut, menurut pihak pendakwa raya di bandar Dijon, timur Perancis. – AFP
