LOS ANGELES, 26 MAC – Seorang remaja perempuan telah meninggal dunia selepas menembak dirinya sendiri dengan menggunakan senjata api milik seorang pegawai di lobi stesen syerif di California, menurut pihak berkuasa kelmarin.
Remaja itu, yang identitinya tidak didedahkan, mula mengetuk pintu stesen di City of Industry, berhampiran Los Angeles, pada malam Ahad.
Semasa pegawai membuka pintu, gadis tersebut berjaya merampas senjata perkhidmatan daripada salah seorang pegawai tersebut.
“Remaja itu meluru ke dalam lobi dan merampas senjata api timbalan syerif,” kata Jabatan Sheriff Daerah Los Angeles dalam siaran akhbar.
“Satu pergelutan berlaku antara pegawai dan remaja yang bersenjatakan senjata api itu,” tambah siaran akhbar tersebut.
“Semasa pergelutan, remaja itu mengalami luka tembakan yang dilakukannya sendiri”.
Remaja itu disahkan mati di tempat kejadian oleh paramedik yang hadir. – AFP