Saturday, April 19, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja Sweden didakwa rancang pembunuhan upahan

    STOCKHOLM, 16 APRIL – Seorang remaja Sweden telah didakwa di Australia atas tuduhan menggunakan aplikasi komunikasi yang disulitkan bagi membantu merancang pembunuhan upahan di Sweden dan Denmark, menurut kenyataan bersama polis Australia, Denmark dan Sweden, hari ini.

    Polis Australia mendakwa remaja lelaki berusia 15 tahun itu kerana disyaki menggunakan aplikasi disulitkan bagi memudahkan rancangan pembunuhan upahan di luar negara bagi pihak sindiket jenayah rentas negara, menurut kenyataan ketiga-tiga agensi penguatkuasaan itu.

    “Ketika berada di Australia, remaja ini disyaki cuba merekrut individu untuk melakukan pembunuhan upahan di Denmark dan Sweden, berkait konflik berterusan antara kumpulan jenayah di rantau Nordic,” kata Timbalan Ketua Penguasa Unit Jenayah Khas Kebangsaan Denmark, Lars Feldt-Rasmussen.

    Remaja tersebut ditahan polis Australia pada Rabu selepas waran geledah dilaksanakan di barat Sydney. Dia tidak dibenarkan ikat jamin ketika prosiding di mahkamah kanak-kanak, dan akan kembali ke mahkamah pada 11 Jun.

    Dia didakwa atas dua pertuduhan menggunakan peranti yang disambungkan ke rangkaian telekomunikasi dengan niat melakukan kesalahan serius: satu berkait dengan ‘pembunuhan’ dan satu lagi dengan ‘konspirasi untuk membunuh’.

    Kedua-dua pertuduhan tersebut membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup, menurut kenyataan polis.

    Dalam kenyataan berasingan, polis Denmark mengesahkan remaja berkenaan adalah warganegara Sweden.

    Sweden sejak beberapa tahun kebelakangan ini bergelut menangani kejadian tembakan dan letupan yang berkaitan dengan konflik antara kumpulan jenayah saingan.

    Pelaku jenayah sering melibatkan remaja muda di bawah usia 15 tahun — had umur tanggungjawab jenayah di Sweden — yang direkrut sebagai pembunuh upahan oleh sindiket.

    Keganasan berkaitan kumpulan jenayah Sweden juga dilaporkan merebak ke negara jiran seperti Norway dan Denmark. – AFP

    Gambar FreePik.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda