WELLINGTON, 24 OKT – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di New Zealand terpaksa menjalani pembedahan selepas menelan antara 80 hingga 100 magnet berkuasa tinggi yang dibelinya dari Temu, menurut laporan doktor hari ini.
Remaja yang tidak didedahkan identitinya itu dimasukkan ke Hospital Tauranga di Pulau Utara selepas mengalami sakit perut selama empat hari.
Menurut laporan oleh pasukan doktor hospital dalam New Zealand Medical Journal (NZMJ), pesakit mengakui telah menelan kira-kira 80 hingga 100 magnet neodymium berukuran 5×2 milimeter kira-kira seminggu sebelum dirawat.
Magnet itu telah diharamkan di New Zealand sejak Januari 2013, namun dipercayai dibeli melalui platform e-dagang Temu, kata laporan tersebut.
Hasil imbasan X-ray mendapati magnet-magnet berkenaan berkumpul dalam empat garisan lurus di dalam usus remaja itu.

“Bahagian usus tersebut kelihatan melekat antara satu sama lain akibat tarikan daya magnet yang kuat,” jelas laporan itu.
Tiada tarikh dinyatakan bagi tarikh pembedahan berkenaan dijalankan.
Pihak Temu dalam kenyataan berasingan memaklumkan mereka telah melancarkan siasatan dalaman bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan di New Zealand.
Menurut doktor, tekanan daripada magnet-magnet itu telah menyebabkan nekrosis atau kematian tisu pada empat bahagian usus kecil dan sekum, iaitu sebahagian dari usus besar.
Pakar bedah melakukan pembedahan bagi membuang tisu yang mati serta mengeluarkan semua magnet dan pesakit dibenarkan pulang selepas lapan hari dirawat di hospital.
“Kes ini bukan sahaja mengetengahkan bahaya akibat tertelan magnet, tetapi juga risiko penggunaan platform pasaran dalam talian untuk populasi pediatrik kita,” kata penulis laporan, Dr. Binura Lekamalage, Lucinda Duncan-Were dan Nicola Davis.
Mereka turut memberi amaran mengenai pembedahan akibat menelan magnet boleh menyebabkan komplikasi jangka panjang, termasuk halangan usus, hernia perut dan kesakitan kronik.
Dalam satu kenyataan lanjut, Temu menyatakan rasa kesal atas kejadian itu serta pembedahan yang perlu dilalui oleh remaja terbabit. – AFP

