KUALA LUMPUR – Ramai remaja terus merokok walaupun mendapati ia tidak menyeronokkan malah sedar akan bahayanya terhadap orang lain. Mereka terus mengamalkan tabiat berbahaya dan membazir itu atas sebab-sebab yang tidak boleh diterima akal seperti “kebosanan” dan keperluannya untuk “melepak dengan kawan-kawan”.
Begitu juga dengan kajian Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) yang didedahkan oleh pakar berhenti merokok Swinder Jit Jag Singh. Sesetengahnya menyalahkan tabiat buruk itu terhadap tekanan, tetapi punca tekanan yang dimaksudkan adalah tidak munasabah. Antaranya ketidakmampuan membeli peralatan terkini seperti iPhone, katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Kajian yang dijalankan ke atas 143 remaja di sekitar Kuala Lumpur menunjukkan bahawa majoriti melihat merokok sebagai sesuatu yang normal. Ramai yang fikir ia perkara biasa malah berani merokok di depan pintu pagar sekolah mereka.
“Mereka biasa melihat sama ada ahli keluarga mereka atau anggota masyarakat yang lain merokok, jadi pada mereka ia adalah perkara biasa. “Akses pada rokok juga mudah. Walaupun ada undang-undang, tapi apabila ditanya, mereka kata mudah sahaja untuk membeli rokok di gerai tepi jalan, kedai runcit atau pasar raya,” katanya.
Remaja tahu merokok membahayakan kesihatan
Kaji selidik seterusnya mendapati 70 peratus daripada kumpulan itu mula merokok dalam lingkungan umur 12 ke 15 tahun. Lapan puluh lima peratus daripada remaja terlibat mengetahui bahawa merokok boleh menyebabkan kanser manakala 83 peratus pula menyedari bahawa perbuatan mereka turut membahayakan kesihatan orang di sekeliling.


Selain itu, 84.6 peratus daripada mereka bersetuju bahawa merokok membazirkan wang dan hampir 60 peratus mengakui bahawa merokok bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.
“Mereka mengakui bahawa merokok adalah tindakan bodoh, tetapi tidak tahu mengapa terus melakukannya,” kata Swinder, yang kini mengendalikan program pencegahan kanser untuk remaja.
Bantu remaja berhenti merokok
Program enam bulan kelolaan NCSM itu membabitkan 322 perokok remaja di sekitar Lembah Klang, dan berlangsung sejak Februari lepas sehingga Ogos ini. Program itu bertujuan memberi kesedaran tentang bahaya kanser dan membantu golongan remaja berhenti tabiat merokok.
Swinder berkata ada dalam kalangan remaja yang ditemui-nya merokok untuk melepaskan tekanan akibat konflik keluarga seperti perceraian ibu bapa. Namun bilangannya terlalu kecil.
Ramai juga yang merokok kerana terikut-ikut dengan kawan. “Kita kena banyak sabar bila berurusan dengan remaja . Kena berlembut dan tunjukkan yang kita memang betul-betul nak bantu dia. “Kalau niat kita baik, nak bantu dia, dia pun boleh rasa,” kata Swinder.
Selain ceramah, sebahagian besar kandungan program adalah sesi kaunseling berkumpulan. Menerusi sesi itu, beliau dapat memahami peserta dengan lebih baik dan menggalakkan mereka untuk saling membantu. Bagaimanapun, katanya, berurusan dengan perokok tegar memerlukan pendekatan berbeza.
“Biasanya saya akan meluangkan masa untuk bertemu dengan mereka secara peribadi di kantin sekolah mereka. Cakap lembut-lembut dengan dia dan buat dia rasa istimewa daripada orang lain,” dedah jururawat kanan yang juga pakar kaunseling berdaftar itu.
Penguatkuasaan yang lebih ketat
Tahun ini adalah kali kedua program seumpama dijalankan setelah program perintis pada tahun lepas mencapai kejayaan membanggakan iaitu 64 peratus daripada peserta berjaya berhenti merokok. Kebanyakan peserta menyertai program itu secara sukarela sekali gus menunjukkan ramai di antara perokok remaja mahu berhenti merokok.
Swinder berkata tabiat merokok dalam kalangan kumpulan yang masih dikategorikan sebagai kanak-kanak perlu dibendung kerana boleh membawa kepada gejala lain seperti shisha, dadah dan arak.
Ini terbukti menerusi kaji selidik itu yang mendapati 59.8 peratus pernah mencuba shisha, manakala 10 peratus pernah mencuba marijuana atau ganja. Lapan puluh dua peratus responden juga telah mencuba rokok elektronik atau ‘vaping’.
Beliau percaya, tanpa sokongan masyarakat serta pihak berkuasa, usaha NCSM untuk mengekang remaja merokok tidak akan berhasil. “Seperti yang saya katakan, mudah untuk anak ini mendapatkan bekalan rokok. Oleh itu, penguatkuasaan perlu lebih agresif dan diperluaskan ke tempat-tempat larangan merokok,” katanya.
Beliau juga merasakan bahawa sokongan guru, khususnya guru kaunseling, adalah penting. Swinder mencadangkan agar guru-guru kaunseling dilatih dan diberi kemahiran untuk membantu perokok agar berhenti daripada tabiat itu. – Bernama