LONDON, 5 OGOS – Seorang hakim di United Kingdom (UK) kelmarin telah menjatuhkan hukuman tahanan selama setahun dan sembilan bulan terhadap dua remaja seorang lelaki dan seorang perempuan yang berusia 17 tahun kerana menyeksa dan membunuh dua anak kucing secara kejam.
Menurut pendakwa raya, remaja lelaki berkenaan juga pernah menyuarakan hasrat untuk membunuh manusia dan telah membuat carian berkaitan cara untuk ‘terlepas daripada pembunuhan’.
Kedua-dua anak kucing itu telah ditemui dalam keadaan perut terbelah dengan tali terikat pada badan mereka di sebuah taman di barat laut London pada Mei lalu.
Manakala, bahagian kulit dan bulu pada kucing tersebut juga didapati telah dibakar.
Polis turut menemui beberapa bilah pisau, alat pemotong dan obor api di lokasi kejadian.
Kedua-dua remaja itu mengaku bersalah atas kesalahan memiliki senjata tajam dan menyebabkan penderitaan tidak wajar terhadap haiwan.
Namun, identiti mereka tidak boleh didedahkan atas sebab undang-undang.
Hakim Daerah, Hina Rai, menyifatkan jenayah tersebut sebagai “tanpa ragu-ragu, antara perbuatan paling kejam terhadap haiwan yang pernah disaksikan di mahkamah ini”.
Remaja lelaki tersebut telah dijatuhi hukuman 12 bulan tahanan di pusat pemulihan belia, dengan tindakan beliau disifatkan sebagai ‘dirancang dengan teliti dan jelas berniat jahat’.
Pendakwa Valerie Benjamin memberitahu mahkamah, perbuatan remaja itu menunjukkan tahap perancangan, termasuk mencari haiwan tersebut, membawanya ke tempat awam dan membunuhnya secara kejam.
Sementara itu, remaja perempuan tersebut telah dijatuhkan hukuman sembilan bulan tahanan di pusat pemulihan, selepas mahkamah dimaklumkan remaja itu telah memuat turun imej anak kucing yang dikerat dengan kejam beberapa bulan sebelum kejadian berlaku.
Menurut BBC, pihak polis UK kini sedang menyiasat kemungkinan wujud kaitan dengan rangkaian pengguna dalam talian antarabangsa yang berkongsi dan menayangkan rakaman penyeksaan atau pembunuhan kucing. – AFP


