LONDON, 22 DIS – Seorang remaja United Kingdom (UK) yang muncul semula di Perancis enam tahun selepas hilang, telah memberitahu sebuah akhbar dia memutuskan untuk pulang ke Britain kerana dia mahukan masa depan yang lebih baik.
Alex Batty, 17, telah hilang semasa berada di Sepanyol bersama ibu dan datuknya pada Oktober 2017 tetapi muncul di kawasan pergunungan di selatan Perancis minggu lalu.
Batty memberitahu tabloid Sun dalam temu bual yang diterbitkan pada hari ini bahawa dia telah memilih untuk meninggalkan pasangan itu selepas bosan berpindah-randah di sekitar Eropah bersama mereka.
“Saya sedar ia bukan cara terbaik untuk masa depan saya,” kata remaja itu, yang kembali di bawah penjagaan sah nenek sebelah ibunya di Oldham, utara England.
“Berpindah-randah. Tiada kawan, tiada kehidupan sosial. Bekerja, bekerja, bekerja dan tidak belajar. Itulah kehidupan yang saya bayangkan akan saya jalani jika saya tinggal bersama ibu saya.”
Remaja itu memberitahu penyiasat Perancis dia telah tinggal dalam ‘komuniti rohani’ dan tidak pernah tinggal lebih daripada beberapa bulan di tempat yang sama.
Batty menambah dia akan “sibuk belajar dan mengejar apa yang ketinggalan,” dan dia berharap untuk bekerja akhirnya dalam sektor teknologi. – AFP


