Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rempuhan bot-feri di Florida, seorang maut, 12 cedera

    NEW YORK, 28 APRIL – Sebuah bot persendirian melanggar sebuah feri di Florida, Amerika Syarikat pada malam kelmarin, mengakibatkan seorang maut manakala 12 lagi cedera, lapor Xinhua.

    Jabatan Polis Clearwater mengesahkan kematian seorang individu dari feri, yang ketika kejadian membawa lebih 40 penumpang.

    Menurut kenyataan polis tempatan di media sosial, “Semua kecederaan melibatkan penumpang feri. Bot yang merempuh feri itu melarikan diri dari lokasi kejadian.”

    Menurut kenyataan itu lagi, feri berkenaan kemudiannya terdampar di atas pasir di selatan jambatan Memorial Causeway, manakala semua mangsa serta penumpang telah dipindahkan.

    Jabatan Polis Clearwater memaklumkan siasatan berhubung insiden itu akan dikendalikan oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida. – Bernama

    Para penyiasat mencari serpihan feri berhampiran Jambatan Memorial Causeway Clearwater, di Florida, pada 27 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda