Pelakon Malaysia, Datuk Remy Ishak tidak menyangka video memaparkan dirinya membantu isteri menguruskan anak, Tuah Alam, tular.
Remy atau nama sebenar, Mohammad Zalimei Ishak, 43, berkata apa yang dikongsi adalah tugas biasa di rumah, tidak ubah seperti ketua keluarga lain.
“Sekarang suami bukan macam itu kah? Saya tak suka baca komen. Apabila saya terbaca komen mengenai video itu, saya cakap kepada isteri, kenapa video seperti ini ramai orang tengok?
“Saya pelik sebab apa yang dipapar adalah rutin biasa dan tugas suami. Jadi, kenapa boleh tular? Apakah dunia sudah berubah dan lelaki tidak boleh buat semua itu?” katanya ditemui pada majlis pengumuman pelantikan sebagai duta syarikat permotoran, GAC Malaysia di GAC Roadshow di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.
Menurut BH Online, baru-baru ini, Remy yang membintangi filem Pulang memuat naik video memaparkan dia memandi dan menyiapkan Tuah. Remy turut berkongsi aktiviti harian termasuk mengemas dan beriadah selain menghantar Tuah ke pusat jagaan sementara dia bersenam.

Aktiviti Remy menguruskan anak dan memudahkan kerja isteri, Datin Ezza Yusof, dipuji warganet.
Remy berkata, kerja rumah yang dilakukan adalah ikhlas, bukan dipaksa.
“Kalau kita pandang dari sudut positif, bagus apabila kita berkongsi video seumpama itu. Saya galak buat perkara baik dan berkongsi video positif.
“Itulah guna pelakon terkenal. Kita kena sebar ‘positive vibe’ dan ajak orang sama-sama jadi positif.
“Namun, kalau ada yang tengok dan anggap video itu dibuat sekadar kandungan dan bahan tular, itu bukan saya. Kalau sesiapa yang ikuti saya, anda tahu saya tidak buat begitu,” katanya.
Bagaimanapun, Remy menjelaskan, Tuah banyak diasuh isteri dan dia hanya membantu apabila tidak bekerja. – Agensi

