Pelakon Remy Ishak memuji semangat dan ketabahan Puteri Sarah Liyana di lokasi penggambaran meskipun sedang berdepan pergolakan rumah tangga.
Remy yang menjalani penggambaran bersama Puteri Sarah menerusi drama bersiri Hijrah Jannah berkata, atas dasar simpati mereka yang terbabit dalam produksi itu memberi sokongan kepada Puteri Sarah dengan tidak memberi tekanan kepadanya.
“Setiap hari semua orang ada masalah yang akan dihadapi. Kadang-kadang dia (Puteri Sarah) perlu hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan kesnya dan kami sangat memahami keadaannya itu.
“Mungkin satu hari nanti saya juga akan ada masalah. Jadi, saya memahami dan beri ruang kepadanya serta tidak memaksa.
“Ada masa bila tengok Puteri Sarah sedih dan tidak banyak cakap di lokasi, kami akan tanya sama ada okay ataupun tidak?

“Kami akan cuba kembalikan moodnya,” kata Remy kepada BH Online.
Tambah pelakon filem Sangkar ini, isteri kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof ini ada meminta pandangannya berhubung kemelut berlaku, namun lebih selesa mengambil sikap berkecuali.
“Puteri Sarah ada ajak bersembang dan meminta pandangan dan nasihat. Bagi saya, perkara ini sangat subjektf kerana lain orang, lain pula pandangannya.
“Saya hanya kongsi perkara yang baik yang boleh menguatkan dan menyatukan. Lagipun, saya belum pernah melalui situasi sebegitu,” pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak ini.
Terdahulu, Remy ditemui pada sidang media dan tayangan perdana program Raya Astro 2023.
Sementara itu, berkongsi perasaan bakal bergelar bapa apabila isterinya, Ezza Yusof kini hamil lima bulan, pelakon berkulit hitam manis ini mengakui hatinya diselubungi pelbagai rasa. – Agensi