Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Renaldy azam cipta nama

    Pelakon popular kelahiran Indonesia, Renaldy Putra Ramadhana mengaku teruja apabila diberi peluang untuk mengembangkan kerjaya di Malaysia.

    Menerima tawaran membintangi filem Gadis Felai yang sedang menjalani penggambaran ketika ini, Renaldy tidak menyangka apabila mendapat tawaran daripada syarikat produksi Malaysia.

    “Sudah tentu tawaran ini tidak akan saya tolak sama sekali. Pada saya, ia pengalaman yang sangat berharga dapat bergandingan dengan pelakon di sini.

    “Sejujurnya saya tidak mengenali sangat pelakon Malaysia, kecuali beberapa nama seperti Meerqeen yang mana dramanya, Melur Untuk Firdaus popular di Indonesia.

    “Bagaimanapun saya sedia bergandingan dengan heroin filem ini iaitu Isyariana serta pelakon popular di sini,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Renaldy sedia bergandingan dengan mana-mana pelakon. – mStar

    Dalam filem Gadis Felai yang mengisahkan pelaburan Forex, Renaldy membawakan watak sebagai jejaka dari seberang bernama Eko. Tambah Renaldy, kehadirannya dalam filem itu bakal menjadi batu loncatan untuk dirinya lebih dikenali di Malaysia.

    “Saya sedar ramai juga pelakon-pelakon Indonesia yang cukup popular dan terkenal di sini.
    “Jadi, tidak mustahil dengan membintangi filem ini menjadi platform untuk peminat Malaysia mengenali saya.

    “Pada masa akan datang, saya juga tidak kisah jika terus mendapat tawaran untuk berlakon di Malaysia, sama ada filem atau sinetron (drama),” katanya.

    Selain Renaldy, pelakon Indonesia yang turut membintangi filem arahan Zamri Zakaria ialah Tsania Marwa.

    Filem yang mula menjalani penggambaran 13 November lalu itu turut membabitkan lakonan Azrel Ismail, Norkhiriah dan Zaryn Min. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda