Saturday, November 16, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Rendang istimewa’ Elly di pagi raya

    Ramai tidak berkesempatan membuat persiapan lengkap berikutan sambutan Aidilfitri mengejut, tahun lalu.

    Begitu juga pelakon dan pengacara popular, Elly Mazlein, 43, yang merasakan sambutan Lebaran tahun lalu tidak cukup sempurna.

    Berikutan itu, Elly atau nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi membuat persediaan lebih rapi, lebih lagi, menyambut Aidilfitri di kampung mentuanya di Kelantan, tahun ini.

    Kata Elly atau mesra disapa sebagai Kak Lina Pom Pom, dia berada di Kelantan sehingga raya kelima dan kemudiannya pulang ke kampung halamannya di Perak.

    “Tahun ini, saya dan keluarga balik kampung suami di Kelantan. Disebabkan ada anak kecil, kami memilih pulang menaiki kapal terbang.

    Elly bersama suaminya, Mohamad Azlan ketika meraikan Syawal di Kelantan. – Agensi

    “Kami beraya di Kelantan sehingga raya kelima. Kemudian, kami balik ke Kuala Lumpur untuk sambung perjalanan pulang ke kampung di Perak pula,” katanya kepada BH Online.

    Pelakon drama rantaian Kampung People itu berkata, dia seronok dapat meraikan Lebaran dalam suasana kampung bersama keluarga mentua.

    Malah, kata Elly, aktiviti paling tidak sabar tentunya memasak rendang istimewa sebagai juadah pagi raya.

    “Saya memang seronok beraya di kampung, suasana lebih meriah. Selepas itu, ada pula rewang memasak beramai-ramai. Itu yang membuatkan raya lebih bermakna.

    “Tahun lalu raya mengejut, jadi saya tidak berkesempatan memasak rendang untuk keluarga, sebaliknya hanya keluarga mentua menyiapkan juadah pagi raya.

    “Disebabkan itu, saya pulang awal ke kampung dan masak rendang Kak Lina Pom Pom yang istimewa buat keluarga sebelah mentua,” katanya.

    Kata Elly, meskipun meraikan Syawal di kawasan kampung, tiada peminat yang datang mengganggu, sebaliknya memahami.

    “Alhamdulillah, saya selesa beraya di Kelantan. Malah, saya juga tiada masalah mengenai peminat datang beraya kerana memang saya sentiasa di rumah bersama keluarga mentua.

    “Malah, saya juga sebenarnya seronok melayan peminat,” katanya.

    Tahun lalu, ramai memuji penampilan Elly Kak yang sangat menyenangkan hati terutamanya melayan peminat di kampung halaman suami.

    Dalam salah satu perkongsian pengguna TikTok, Elly dilihat sebagai selebriti yang sangat mesra, ramah dan tidak kekok bergaul dengan orang kampung.

    Elly mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Azlan Che Nuh, 32, pada 18 Januari 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

    Pasangan itu dikurniakan cahaya mata lelaki, Haider Mateen pada 23 Oktober tahun lalu.

    Sebelum ini, menerusi perkahwinan pertama Elly bersama pengarah, Azmi Hatta dikurniakan cahaya mata perempuan, Puteri Sara Sefhia. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda