Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rentang bendera hingga ke kebun tanaman

    KOTA BHARU – Meskipun sudah 36 tahun meninggalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semangat juang dan kecintaan terhadap tanah air masih membara dalam jiwa Zahari Abdullah, 69, membuatkan beliau tidak pernah gagal untuk mengibarkan Jalur Gemilang se-tiap kali tibanya Hari Kebangsaan.

    Menariknya, bersama isteri Tuan Yah Tuan Ya, 62, mereka sepakat membelanjakan kira-kira RM600 bagi membeli 500 Jalur Gemilang pelbagai saiz untuk dipasang dan dikibarkan di kebun tanaman serta tempat ternakan puyuh di sekitar rumah.

    “Saya pernah berkhidmat dalam ATM selama 13 tahun sebelum berhenti pada 1985 di Kem Batu 10 Kuantan, Pahang.

    “Sepanjang tempoh itu saya pernah terbabit dalam beberapa operasi menjejak pengganas komunis, mungkin sebab itu semangat mempertahankan tanah air tidak pernah luntur daripada jiwa dan sanggup berbelanja beratus ringgit bagi membeli Jalur Gemilang.

    “Malah, sejak 10 tahun tinggal di rumah ini, kami tidak pernah lupa memacak Jalur Gemilang dari depan rumah iaitu kawasan sawah padi hingga ke pintu pagar. Kami juga pasang Jalur Gemilang serta kain rentang di kebun tanaman dan tempat ternakan puyuh memandangkan kami banyak habiskan masa di situ,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Bongor Melor, baru-baru ini.

    Zahari berkata beliau mula menternak kira-kira 1,000 ekor puyuh sejak tahun lalu dan menggunakan sebahagian daripada hasil jualan telur puyuh bagi membeli Jalur Gemilang.

    Katanya, setiap hari ada sahaja idea dan perubahan melibatkan lokasi memacak Jalur Gemilang bagi menampakkan suasana sentiasa meriah sebelum tibanya Hari Kebangsaan hingga Hari Malaysia pada 16 September ini.

    “Kami mengabadikan hiasan bertema kemerdekaan sebagai tanda sayang dan ingatan tidak berbelah bahagi kepada tanah air, selain mengingati pengorbanan dan perjuangan orang terdahulu,” kata bapa kepada tiga anak itu. – Bernama

    Sepasang suami isteri, Zahari Abdullah dan Tuan Yah Tuan Ya, mengambil inisiatif setiap tahun memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di ladang tanaman dan puyuh peliharaan di rumahnya di Kampung Kubang Bongor Melor. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda