Rentas negeri: Sabah buat keputusan Rabu ini

KOTA KINABALU, 10 OKT – Kabinet Sabah akan membuat keputusan mengenai kebenaran rentas negeri pada mesyuarat Rabu ini susulan keputusan kerajaan persekutuan membenarkan perjalanan itu bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah akan mempertimbang sebaiknya keputusan kerajaan persekutuan serta mengemukakan cadangan bersesuaian kepada kabinet negeri pada mesyuarat tersebut.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata peratusan penduduk dewasa Sabah yang belum mencapai 90 peratus vaksinasi lengkap C0VD-19, yang merupakan prasyarat rentas negeri kerajaan Persekutuan, akan diambil kira dalam membuat sebarang keputusan.

“Pendirian kerajaan negeri akan diumumkan pada hari Rabu selepas mesyuarat Kabinet negeri dan pertimbangan akan dibuat sewajarnya demi kepentingan semua pihak terutama rakyat Sabah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berdasarkan Perkara 6: Imigresen, Perjanjian Malaysia 1963, sebarang kebenaran kemasukan ke Sabah memerlukan persetujuan daripada kerajaan negeri. – Bernama