KUCHING, 13 OKT – Syarat yang ditetapkan kepada individu ingin memasuki Sarawak ketika ini adalah bertujuan melindungi penduduk negeri itu daripada virus COVID-19.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum bahawa orang ramai berharap kelonggaran penuh dapat diberikan tanpa sebarang permohonan bagi kemasukan ke negeri itu.
Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut terdapat sebab-sebab tertentu mengapa Sarawak masih mengekalkan syarat seperti perlu menjalani saringan COVID-19 sebelum memasuki negeri tersebut.
“Sebanyak 106 kes import B (kes berpunca dari negeri lain akibat daripada aktiviti rentas negeri) telah dikesan di Sarawak pada Ogos 2021 manakala 83 kes import B dikesan pada September 2021 dan kes-kes ini dikesan semasa dalam tempoh kuarantin selepas memasuki Sarawak dari negeri lain.
“Terdapat banyak lagi kes yang telah dikesan positif sebelum permohonan kemasukan ke Sarawak. Syarat saringan sebelum kemasukan ke Sarawak ini telah membantu mengurangkan risiko penyebaran dalam pesawat dan melindungi penumpang dalam pesawat yang sama,” menurut kenyataan itu. – Bernama