Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) baru-baru ini, telah mengadakan kuliah umum bertajuk Remembering Ferdinand Magellan’s Voyage 500 Years Later: Global, Regional and National Contexts and Consequences yang berlangsung di Lecture Theatre 2, Bangunan Tambahan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS).
Acara yang dihadiri oleh kakitangan dan mahasiswa UBD serta para pelajar sekolah menengah di Negara Brunei Darussalam tersebut diadakan bagi memperingati pencapaian bersejarah yang dicapai oleh Ferdinand Magellan yang telah mencapai lebih lima abad lamanya.
Turut hadir semasa acara tersebut ialah Duta Besar dan Mutlak Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Christian Ramage dan Duta Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, TYT Christopher B. Montero yang turut berkesudian menjadi penceramah undangan semasa acara tersebut selain Profesor Madya Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail dan Dr Rommel A. Curaming dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD.
Objektif kuliah umum tersebut antara lainnya adalah untuk melihat kembali konteks ekspedisi dan merenungkan akibat dan kepentingannya terhadap sejarah manusia.
Setelah ucapan alu-aluan daripada Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global) UBD Dr Joyce Teo Siew Yean, TYT Christian Ramage sebagai penceramah pertama, membincangkan ekspedisi dan kepentingannya dalam sejarah Eropah dan global.
Dr Rommel A. Curaming kemudian membincangkan situasi Asia Tenggara ketika ekspedisi Magellan sampai ke rantau ini pada 1521 dan betapa pentingnya episod ini dari sudut sejarah serantau. Sementara itu, TYT Christopher Montero turut berkongsi apa yang berlaku dengan pelayaran Magellan ketika sampai di Filipina, manakala penceramah terakhir, Profesor Madya Dr Haji Awang Asbol mengakhiri kuliah umum tersebut dengan berkongsi perspektif Brunei tentang ekspedisi Magellan.
