Thursday, November 14, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Representasi kedua pemilik kelab komedi ditolak mahkamah

    KUALA LUMPUR, 31 MEI – Pemilik kelab komedi Crackhouse Mohamad Rizal Van Geyzel akan mengemukakan representasi ketiga selepas representasi keduanya bagi menggugurkan tiga pertuduhan dihadapinya ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Tiga pertuduhan itu adalah membuat dan memulakan hantaran video menyentuh sensitiviti kaum dalam tiga aplikasi media sosial miliknya iaitu Facebook, Instagram dan TikTok pada Julai tahun lepas.

    Peguam M. Pravin mewakili Mohamad Rizal memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Priscilla Hemamalini Nadarajan bahawa mereka baru dimaklumkan oleh pihak pendakwaan mengenai status representasi tersebut hari ini.

    “Pihak kami berkemungkinan besar akan memasukkan satu lagi representasi kepada AGC kerana terdapat perkembangan baharu dalam kes ini dan kami memerlukan masa untuk mendapatkan arahan daripada anak guam.

    “Kami mohon untuk menangguhkan tarikh bicara yang ditetapkan pada 1 dan 2 Jun ini dan mohon satu tarikh singkat ditetapkan oleh mahkamah sementara pihak kami mendapatkan jawapan berhubung representasi ketiga berkenaan,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman mengesahkan representasi kedua yang dihantar ditolak dan memohon pihak pembelaan untuk memasukkan representasi baharu dengan segera untuk diteliti pihak AGC.

    Mahkamah menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan keputusan representasi ketiga serta melapangkan tarikh perbicaraan kes pada 1 dan 2 Jun ini.

    Pada 20 Januari lepas, AGC menolak representasi dikemukakan Mohamad Rizal bagi menggugurkan tiga pertuduhan tersebut sebelum tertuduh mengemukakan representasi kedua pada 6 April.

    Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

    Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ di sini, pada 1:17 tengah hari, 13 Julai tahun lepas.

    Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – Bernama

    Pemilik kelab komedi Crackhouse akan mengemukakan representasi ketiga selepas representasi keduanya bagi menggugurkan tiga pertuduhan dihadapinya ditolak Jabatan Peguam Negara. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda