BOGOTA, 22 SEPT — Pihak berkuasa di Republik Dominika berkata kelmarin, mereka telah merampas sebahagian daripada kokain yang dibawa oleh sebuah bot laju yang sebelumnya telah dihancurkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat, sementara pentadbiran Trump melaksanakan misi anti-narkotik yang kontroversial di Laut Caribbean selatan.
Dalam sidang media, Direktorat Nasional Kawalan Dadah Republik Dominika berkata mereka telah menemui sebanyak 377 peket kokain dari bot yang didakwa membawa 1,000 kilogram dadah tersebut.
Para pegawai berkata, bot itu telah dimusnahkan kira-kira 80 batu nautika ke selatan Isla Beata, sebuah pulau kecil yang dimiliki oleh Republik Dominika.
Mereka juga menyatakan, Tentera Laut Republik Dominika bekerjasama dengan pihak berkuasa AS untuk mengesan bot laju itu, yang didakwa cuba berlabuh di Republik Dominika dan menggunakan negara itu sebagai ‘jambatan’ untuk mengangkut kokain ke AS.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah AS dan Republik Dominika melaksanakan operasi bersama menentang terorisme narkotik di Caribbean,” kata pihak direktorat dalam satu kenyataan.
Pada bulan Ogos, AS menghantar lapan kapal perang dan sebuah kapal selam ke Caribbean selatan, dalam apa yang diperkatakan oleh pentadbiran Trump sebagai misi untuk memerangi penyeludupan dadah.
Rumah Putih turut mengeluarkan kenyataan, armada itu telah menghancurkan tiga bot laju yang membawa dadah dalam serangan berasingan yang mengorbankan lebih daripada 12 orang di atas kapal tersebut. – AP


