Belum pernah model dan pelakon kacukan India-Scotland, Amelia Henderson buat ‘onar’ selama bergelar anak seni.
Amelia, 28, boleh dianggap antara selebriti bersih daripada dipalit kontroversi, selama ini.
Jauh di sudut hati, Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson tidak terlintas terpalit dengan kontroversi yang mengheretnya ke muka pengadilan.
Sudah tentu reputasi bersih selama ini tercalar bila dilabelkan degil dan sombong hanya kerana ingin mempertahankan hak.
Tak pernah terdetik mencetuskan perbalahan, namun anak kelahiran Klang, Selangor itu hanya ingin semua pihak mendapat keadilan saksama.
“Bohonglah jika tak terkesan bila dilabelkan degil dan sombong. Tiada manusia dalam dunia ini rela bila dicemuh melulu, tetapi saya bersyukur keluarga dan rakan baik lebih mengenali saya.
“Jika bercakap dari sudut profesional, saya tak terkesan bila dianggap degil dan sombong. Ini kerana orang sekeliling kenal saya.
“Namun, saya terasa bila membaca komen warganet. Rasa sakit pasti ada, saya juga bimbang persepsi ini melambangkan ‘refleksi’ diri saya,” katanya kepada BH Online.
Pelakon yang melangkah ke dunia seni sebagai model jenama barangan kanak-kanak terkemuka seawal usia 10 bulan itu berkata, andai benar dirinya bermasalah, sombong, pentingkan diri dan tidak kisah perasaan orang, mungkin kelibatnya sudah tidak kelihatan dalam dunia lakonan.
“Mana mungkin saya bertahan selama 27 tahun jika tidak memiliki reputasi baik. Saya masih lagi bertahan hingga hari ini.
“Saya yakin ini disebabkan saya bina reputasi baik dengan penggiat seni. Saya berterima kasih kepada produksi yang sudi dan masih beri kepercayaan walaupun saya berperang dalam keadaan ini,” katanya. – Agensi