Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Resepi turun-temurun rahsia kejayaan

    GEORGE TOWN, 12 Jun – Resepi turun-temurun yang dikekalkan sejak lebih 60 tahun lalu menjadi penyebab utama restoran nasi kandar Line Clear di sini, terpilih sebagai antara restoran paling sedap di dunia oleh World Street Food Congress (WSFC) 2017 yang diadakan di Filipina baru-baru ini.

    Pengusahanya, Sahubar Mohd Ali berkata restorannya telah terpilih untuk 10 senarai yang teratas sebagai kedai makan yang paling sedap di dunia dan nasi kandar Line Clear berada di kedudukan yang kesembilan.

    “Alhamdulillah, saya tidak sangka restoran kami boleh menang anugerah World Street Food Congress ini dan perasaan saya amat gembira ketika mendapat tahu restoran kami telah terpilih dalam 10 senarai yang teratas daripada 50 senarai kedai makan yang lain,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

    Katanya pihak kongres memilih restoran tersebut kerana rasa menunya seperti masala ayam goreng, kari kepala ikan, kambing, udang sambal, telur, sayur-sayuran pedas berbeza daripada kedai makanan yang lain sehingga pelanggan sanggup berbaris panjang untuk menikmatinya.

    “Selain mengekalkan resepi turun temurun, kami juga menjaga pelanggan kami dengan baik dengan memberikan perkhidmatan dan layanan yang terbaik kepada mereka,” katanya.

    Sahubar berkata ini merupakan kali pertama restoran terkenal di Pulau Pinang itu memenangi anugerah di peringkat dunia dan ia amat mengujakan serta membanggakan pihaknya.

    “Kami akan mengekalkan resepi turun-temurun ini untuk mengekalkan gelaran (antara) restoran paling sedap di dunia yang telah kami perolehi,” katanya.

    Beliau berkata lagi pihaknya dalam perancangan untuk menambah menu baharu dan juga membaik pulih tempat makan agar pelanggan berasa lebih selesa.

    Baru-baru ini restoran nasi kandar Line Clear telah dipilih sebagai antara restoran paling sedap di dunia oleh World Street Food Congress yang diadakan pada 31 Mei hingga 4 Jun lalu di Manila, Filipina.

    Restoran nasi kandar Line Clear berada di kedudukan yang kesembilan dalam ranking dunia untuk makanan paling sedap di dunia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda