Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Kor Diplomatik di negara ini malam ini mengadakan majlis resepsi bagi meraikan empat orang ketua perwakilan asing yang akan menamatkan perkhidmatan mereka di Brunei Darussalam.
Mereka yang diraikan ialah Duta Besar Jerman, Roland Christian Grafe; Pesuruhjaya Tinggi British, David Campbell; Duta Besar Jepun, Noriko Iki dan Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Marina Laker.
Majlis resepsi tersebut berlangsung di Presidential Lounge, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong dan turut dihadiri oleh duta-duta besar dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi ke negara ini serta para jemputan lainnya.
Duta Besar Qatar ke Brunei Darussalam, Saleh Mohammed Al-Nesef selaku Doyen Kor Diplomatik di Brunei Darussalam dalam ucapannya berkata, beliau sukar untuk mengucapkan selamat berpisah kepada rakan-rakan sejawatan.
“Mereka telah mencapai kejayaan yang membanggakan yang membawa kepada profesionalisme mereka, saya berharap perkhidmatan mereka di Brunei Darussalam akan menjadi pengalaman yang baik dan tidak dapat dilupakan.”
Majlis diteruskan dengan penyerahan cenderamata daripada Doyen Kor Diplomatik kepada duta-duta dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi yang akan menamatkan perkhidmatan mereka di negara ini dan seterusnya berakhir dengan sesi bergambar ramai.