Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Resepsi Ulang Tahun Kemerdekaan Filipina ke-125

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Kedutaan Republik Filipina di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan majlis resepsi sempena Ulang Tahun ke-125 Pengisytiharan Kemerdekaan Filipina yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club di Jerudong malam tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Naib Presiden Republik Filipina, Puan Yang Terutama Sara Z Duterte yang juga Presiden Majlis Persatuan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) dan Setiausaha Pendidikan Republik Filipina.

    Majlis resepsi dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina disusuli dengan ucapan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio.

    Dalam ucapannya, PYT Marian terlebih dahulu mengucapkan setinggi penghargaan kepada PYT Sara Z Duterte atas kesudiannya hadir sama pada majlis tersebut. Beliau menjelaskan bahawa komuniti Filipina di negara ini merupakan migran pekerja dengan jumlah keseluruhan melebihi 23,000 yang bekerja dan menetap di negara ini.

    Sejak Hari Kemerdekaan Brunei Darussalam pada tahun 1984, Brunei merupakan destinasi popular yang menjadi pilihan pekerja rakyat Filipina dalam pelbagai bidang.

    Gambar ramai PYT Sara Z Duterte bersama hadirin pada majlis tersebut.
    PYT Sara Z Duterte memotong kek bersama PYT Marian pada majlis yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club di Jerudong malam kelmarin.

    Ada di antaranya turut membawa keluarga mereka bersama menetap di sini menyebabkan lahirnya generasi kedua rakyat Filipina yang menjadikan Brunei Darussalam sebagai tempat tinggal mereka.

    Sementara itu, Naib Presiden Republik Filipina semasa berucap pada majlis resepsi malam tadi menzahirkan perasaan berbesar hatinya kerana berpeluang meraikan hari yang penuh bermakna ini bersama masyarakat Filipina di negara ini.

    Beliau dalam ucapannya turut menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berserta kerabat diraja atas peluang yang diberikan ke atasnya untuk me-ngadakan lawatan pertamanya ke negara ini.

    Majlis seterusnya menyaksikan acara memotong kek oleh Naib Presiden Republik Filipina bersama PYT Marian diikuti dengan penyampaian cenderamata. Acara turut diserikan dengan sesi bergambar ramai bersama para tetamu yang hadir yang terdiri daripada masyarakat Filipina yang bekerja dan menetap di negara ini.

    Republik Filipina memperingati ulang tahun ke-125 kemerdekaan dengan membawa tema Kalayaan, Kinabukasan, Kasaysayan (Kebebasan, Masa Depan, Sejarah) yang mana kerajaan Filipina telah menetapkan perayaan triennium tahun 2023 hingga 2026 bagi menyerlahkan tonggak sejarah yang melahirkan demokrasi pertama di Asia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda