Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Resipi lemang sedap

    Lemang adalah antara makanan atau juadah tradisional paling popular apabila tiba hari raya. Ia sering dicari-cari di bulan Ramadan untuk disediakan semasa Hari Raya. Untuk resipi lemang tradisional yang sedap, bahan-bahannya mestilah berada di dalam sukatan yang betul dan teknik api masak lemak mesti cekap.

    Antara bahan bagi hidangan lemang tradisional ini ialah santan kelapa, beras pulut dan juga sedikit garam. Kombinasi tiga bahan utama ini perlu dalam sukatan yang betul supaya dapat hasilkan juadah tradisional hari raya yang sedap lagi menyelerakan.

    Resipi lemang tradisional sedap dan asli

    Ramai yang mengatakan bahawa untuk mendapatkan lemang yang sedap, perlu dapatkan beras pulut dari Thailand, tetapi sebenarnya beras pulut tempatan pun sudah boleh hasilkan lemang yang sedap. Manakala ada juga yang berkata, untuk hasilkan lemang yang sedap, mestilah gunaakan banyak santan agar ia lemak. Tetapi untuk mendapatkan atau menghasilkan lemang asli yang sedap, perlulah lembut, tidak berkerak dan tidak terlalu lemak.

    Sejarah lemang

    Di Malaysia, menurut Wikipedia, ia adalah makanan tradisional yang popular sejak tahun 1864. Dan menurut catatan, ia juga merupakan kegemaran bagi penduduk asli dari suku Negrito dan suku Semai. Dipercayai cara memasak lemang adalah berasal daripada cara memasak nasi oleh orang asli.

    Kaedah pembuatannya

    1-Lemang dimasak menggunakan ruas buluh dan isi beras pulut dilapik menggunakan daun pisang.

    2-Untuk memasak lemang, basuh beras pulut dan kemudian toskan.

    3-Dalam ruas buluh lemang, lapikkan bahagian dalam buluh dengan gulungan daun pisang.

    4-Setelah itu, masukkan beras pulut yang telah ditos dengan sempurna sehingga hampir penuh ruas buluh.

    5-Tinggalkan ruang dalam dua inci, jangan terlalu penuh.

    6-Kemudian masukkan santan yang telah digaul dengan garam secukup rasa.

    7-Masukkan santan itu sehingga ke paras atas.

    8-Ruas buluh yang telah dimasukkan bahan-bahan tadi kemudian diletakkan separa condong dan ia mestilah dimasak dengan api yang sederhana kuat.

    9-Bagi memastikan lemang dimasak dengan betul, sekata dan tidak berkerak, buluh lemang perlu dipusing-pusingkan atau dibalik-balikan setiap 15 minit.

    10-Dalam 5 minit pertama, dinasihatkan anda untuk melihat lemang anda. Jika nampak seolah agak kering, tuangkan sedikit santan.

    Masa untuk membakar lemang selalunya mengambil masa selama sejam sehingga sejam setengah. Ia bergantung dengan saiz batang buluh lemang. Jika besar, maka bakar lemang tersebut lebih lama sedikit.

    Untuk mengetahui sama ada lemang sudah masak dengan baik, cucuk hujung lemang dengan lidi kelapa yang bersih. Seandainya ada tanda melekit dan bukan basah, lemang sudah dikira sudah masak. Semasa membakar lemang, pastikan juga anda ketuk-ketuk sedikit batang atau ruas buluh itu.

    Tip hasilkan lemang sedap

    Tip paling penting untuk hasilkan lemang yang sedap ialah kekuatan api. Anda perlu jaga api yang bakar lemang supaya tidak terlalu kuat untuk elakkan ia berkerak atau hangus, dan api tidak terlalu perlahan untuk elakkan ia tak masak di dalam.

    Santan pula mestilah mencukupi. Untuk 1 kilogram beras pulut yang digunakan, disarankan untuk guna santan dari sebanyak 3 biji kelapa. Semoga perkongsian ini dapat membantu anda untuk menghasilkan lemang tradisional yang sedap lagi asli. – Agensi

    Lemang adalah antara makanan atau juadah tradisional paling popular bila tiba Hari Raya. – Gambar hiasan
    Tip paling penting untuk hasilkan lemang yang sedap ialah kekuatan api. Anda perlu jaga api yang bakar lemang supaya tidak terlalu kuat untuk elakkan ia berkerak atau hangus, dan api tidak terlalu perlahan untuk elakkan ia tak masak di dalam. – Gambar hiasan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda