Resolusi Gunung Kumgang diharap bawa kerjasama ‘lestari’

SEOUL, 2 DIS – Menteri Penyatuan Korea Selatan Kim Yeon Chul pada Isnin menggesa Korea Utara menghormati komitmennya untuk menormalkan projek pelancongan pergunungan antara Korea yang sudah lama tertangguh dan berkata ia akan membuka laluan bagi pertukaran serta kerjasama ‘lestari’ antara kedua-dua pihak, lapor agensi berita Yonhap.

Kim membuat kenyataan itu semasa perbincangan dengan persatuan wartawan apabila Pyongyang menunjukkan tiada tanda untuk berundur daripada tuntutannya agar Korea Selatan merobohkan fasiliti yang dibina di pusat peranginan Gunung Kumgang Korea Utara sebagai sebahagian daripada program pelancongan bersama.

“Korea Selatan dan Korea Utara telah mencapai kata sepakat semasa sidang kemuncak pada September tahun lepas untuk menormalkan perniagaan pelancongan Gunung Kumgang apabila syarat-syarat disediakan,” kata Kim merujuk kepada perjanjian yang dicapai oleh Presiden Moon Jae In dan

pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada sidang kemuncak ketiga mereka di Pyongyang pada September tahun lepas.

“Saya harap Korea Selatan dan Korea Utara akan menyelesaikan isu ini secara bijak dan ia akan membuka laluan ke arah pertukaran dan kerjasama yang lestari,” kata Kim.

Dilancarkan pada 1998, program pelancongan Gunung Kumgang dianggap sebagai simbol utama perdamaian dan kerjasama ekonomi antara Korea sehingga ia ditangguhkan pada 2008 selepas seorang pelancong Korea Selatan ditembak mati oleh seorang tentera Korea Utara.

Kira-kira 2 juta pelancong melawat gunung itu sebagai sebahagian daripada program tersebut.

Kim juga berkata terdapat “banyak kawasan” di mana kedua-dua Korea boleh bekerjasama dengan cara yang saling menguntungkan meskipun berdepan kesukaran, dan menggesa Korea Utara agar memberikan maklum balas kepada tawaran Korea Selatan untuk menjalin usaha sama. – Bernama