Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Resort ski tertutup terbesar di dunia dibuka di Shanghai

    SHANGHAI, 6 SEPT – Pusat peranginan ski tertutup terbesar di dunia dibuka secara rasmi di Shanghai hari ini selepas bertahun-tahun tertangguh, menjadi projek mega terbaharu yang memenuhi permintaan China yang semakin meningkat terhadap sukan musim sejuk.

    Sokongan yang besar daripada kerajaan dan minat kelas pertengahan yang semakin berkembang telah menyaksikan industri ski meningkat ke tahap yang lebih tinggi di China, terutamanya selepas Beijing menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

    China mendahului dunia dalam pembinaan resort ski tertutup, dengan memiliki separuh daripada sepuluh resort ski tertutup terbesar di dunia berdasarkan keluasan kawasan salji, menurut Daxue Consulting.

    Hari ini, Pusat Peranginan Tema Ski Tertutup L*SNOW Shanghai telah disahkan secara rasmi oleh Guinness Book of Records sebagai yang terbesar di dunia, mengatasi pemegang rekod sebelumnya yang juga terletak di China, di utara Harbin.

    Pada jam 9 pagi waktu tempatan, suhu dicatatkan sekitar 30 darjah Celsius di dataran faux-Alpine berwarna biru elektrik di mana majlis perasmian berlangsung – tetapi di dalam atrium yang luas, suhu menurun jauh di bawah sifar.

    Direka seperti glasier, dunia salji seluas 90,000 meter persegi itu menjulang tinggi di atas pantai Lingan, kira-kira satu setengah jam dari pusat bandar Shanghai.

    Penyiapannya telah ditangguhkan beberapa kali – media industri melaporkan tarikh pembukaan asalnya dirancang pada tahun 2019. – AFP

    Pemandangan dari udara menunjukkan pembangunan luar Pusat Peranginan Tema Ski Tertutup L*SNOW Shanghai semasa hari pembukaan rasminya di Shanghai, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda