Pihak Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) sukacita merujuk kepada Surat Pembaca Media Permata bertajuk Plastik dalam gorengan: Amalan berbahaya bertarikh 13 Ogos lalu oleh Pembeli Prihatin.
BDFA memandang serius sebarang isu yang berkaitan dengan keselamatan makanan dan kesihatan pengguna. Berhubung dengan aduan yang dibangkitkan, BDFA mengambil maklum akan kebimbangan penulis mengenai penggunaan bahan plastik yang disyaki dalam proses menggoreng makanan di sebuah restoran di kawasan Kiulap.
Penggunaan bahan yang tidak sesuai dalam penyediaan makanan adalah dilarang dan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan. Oleh itu, semua pengendali makanan, sama ada di rumah, kawasan persendirian ataupun premis perniagaan, hendaklah mematuhi garis panduan keselamatan makanan yang ditetapkan.
Dalam hal ini, penulis termasuk orang awam adalah disarankan untuk melaporkan sebarang aduan atau amalan yang mencurigakan berkaitan keselamatan makanan, termasuk penggunaan bahan yang tidak sepatutnya atau kaedah penyediaan makanan yang tidak selamat, melalui saluran rasmi BDFA iaitu talian 2572121, akaun Instagram BDFA @bdfa.brunei atau emel kepada corporate.relations@bdfa.gov.bn.
Dengan melaporkan sebarang aduan melalui saluran yang tersedia, perkara seumpama ini dapat dipastikan kesahihannya, dibuat siasatan dan pemeriksaan serta diambil tindakan berpatutan, sekiranya benar terjadi sebarang pelanggaran.
Sebagai makluman, BDFA adalah merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1 Januari 2021 sebagai pengawal selia dan pihak berkuasa ke atas keselamatan dan kualiti makanan di Negara Brunei Darussalam.
Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama dan BDFA komited untuk memastikan makanan yang dijual di negara ini adalah selamat dan berkualiti.
BDFA







