Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Sebuah restoran akan dibangunkan di Taman Rekreasi Hutan Bukit Patoi, Daerah Temburong menerusi kaedah perkongsian awam swasta (PPP) yang diharap akan dapat menambah lagi pengunjung ke Daerah Temburong secara amnya dan taman berkenaan secara khasnya serta mendukung perkembangan sektor pelancongan di daerah berkenaan.
Sehubungan itu, penandatanganan kontrak perjanjian bagi projek pembangunan restoran berkenaan telah dimeterai antara Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Bundayana Kontraktor Sdn Bhd yang berlangsung di ba-ngunan KSSUP, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan majlis penandatanganan berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.
Menurut kenyataan KSSUP, projek berkenaan adalah sebagai salah satu inisiatif pihak kementerian melalui Jabatan Perhutanan dan Jabatan Kemajuan Pelancongan untuk mempelbagaikan produk pelancongan di Daerah Temburong terutamanya berikutan dengan siapnya pembinaan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang menghubungkan Daerah Brunei dan Muara dengan Daerah Temburong dan seterusnya menjadikan Taman Rekreasi Hutan Bukit Patoi sebagai satu destinasi ekopelancongan yang mempunyai lokasi yang sangat strategik dan mudah untuk dikunjungi.
KSSUP melalui Jabatan Perhutanan sebelum ini telah melantik sebuah syarikat arkitek bagi penyediaan reka bentuk bangunan restoran berkenaan.
Dengan anggaran harga projek pembinaan restoran bernilai $0.45 juta di atas kawasan tanah seluas 0.48 ekar di taman berkenaan, syarikat arkitek tersebut telah berkolaborasi dengan Bundayana Kontraktor Sdn Bhd sebagai pemaju untuk membangunkan sebuah restoran.
Projek berkenaan telah mendapat sokongan padu daripada beberapa pihak berkepentingan termasuk Pejabat Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan pihak Autoriti Kemajuan Daerah Temburong.
Menurut kenyataan, projek berkenaan juga diharap akan dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat secara tidak langsung melalui perbelanjaan yang dibuat oleh para pengunjung. Selain itu, pembinaan restoran ini akan dapat membukakan peluang pekerjaan baharu bagi anak-anak tempatan.
Di samping itu, dengan penarikan orang ramai ke taman berkenaan melalui pembinaan restoran itu ini nanti secara tidak langsung akan dapat mengajak ke arah melakukan aktiviti-aktiviti sihat seperti beriadah dan hiking di samping akan dapat memupuk kesedaran mengenai kewujudan dan kepentingan hutan dan negara ini.
