Thursday, January 16, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Restoran didenda $1,000 cemari tempat awam

    Oleh Syahmi Hassan –

    BELAIT, 4 JUN – Sebuah restoran di Kuala Belait telah dikenakan denda kompaun sejumlah $1,000 oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS) setelah didapati membiarkan cecair minyak menitik ke dalam longkang di tempat awam di bahagian belakang bangunan.

    Restoran tersebut telah diberikan tempoh selama tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun berkenaan dan jika didapati gagal boleh didakwa di mahkamah.

    Di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Pindaan Baharu 2021, kesalahan membuang sampah atau sebarang kotoran di tempat awam jika didapati bersalah boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan individu.

    Bagi badan-badan lain atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah bab yang sama boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi daripada $2,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Sehubungan itu, JBKBS mengingatkan orang ramai dan syarikat-syarikat supaya membuang sampah di tempat-tempat yang disediakan dan tidak meninggalkan sebarang jenis sampah di tempat-tempat awam bagi menjaga kebersihan alam sekitar.

    Jabatan tersebut juga mengingatkan pengusaha-pengusaha restoran dan kedai makan supaya menjaga kebersihan perangkap minyak dan tidak membiarkan pencemaran yang boleh menyebabkan longkang kotor dan berbau.

    Bahagian Penguatkuasaan JBKBS juga akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dan akan mengenakan denda kompaun kepada mana-mana individu atau syarikat yang membuang sampah di tempat awam, termasuk membuang sampah di tempat pusat pembuangan sampah yang hanya dikhaskan untuk penyewa, peniaga dan penjaja di bangunan komersil kerajaan seperti Bangunan Pasarneka Kuala Belait dan Gerai Bunga Simpur.

    Gambar cecair minyak menitik ke dalam longkang di bahagian belakang sebuah bangunan di tempat awam. – GAMBAR SERAHAN JBKBS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda