SEOUL, 20 NOV – Sebuah restoran di Korea Selatan mencetuskan perdebatan hangat selepas secara terbuka menolak pelanggan solo melalui satu kain rentang yang menyatakan premis itu ‘tidak menjual kesepian’.
Menurut Oddity Central, sebuah restoran mi di Bandar Yeosu menjadi perhatian selepas mempamerkan poster yang menawarkan empat pilihan kepada pelanggan solo iaitu ‘Bayar untuk dua hidangan; makan dua hidangan; hubungi rakan; atau datang bersama isteri lain kali’ serta turut memaparkan dialog berbunyi “Kami tidak menjual kesepian. Sila jangan datang seorang diri.”
Isu pelanggan solo di Korea Selatan semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, susulan banyak restoran fizikal berusaha mengimbangi kenaikan kos makanan dan tenaga dengan memaksimumkan kapasiti tempat duduk.
Meja empat orang dianggap paling efisien untuk empat pelanggan, menyebabkan sebahagian premis lebih cenderung menolak pelanggan seorang diri walaupun terdapat meja kosong.
“Saya menunggu lebih sejam dalam barisan, namun saya diberitahu pelanggan solo tidak dibenarkan,” keluh seorang pengguna dalam talian. “Walaupun meja banyak kosong, mereka tetap enggan melayan.”
“Di sebuah kedai gukap (sup dengan nasi), mereka tiba-tiba kata bahan sudah habis apabila saya beritahu saya makan seorang,” tulis pengguna lain.
Pemilik restoran pula mengatakan bahawa bagi menerima pelanggan solo semakin mencabar berikutan kenaikan kos makanan, tenaga dan buruh, selain undang-undang Korea Selatan menetapkan pemilihan pelanggan berada di bawah budi bicara pengusaha dan tidak dianggap melanggar prinsip perdagangan adil.
Menurut laporan akhbar JoongAng Daily, kira-kira 170,000 restoran di seluruh negara, hanya sekitar 10.4 peratus menawarkan hidangan untuk seorang pelanggan setakat Mac 2025.
Pada Julai lalu, seorang YouTuber Korea Selatan mencuba untuk makan seorang diri di sebuah restoran tetapi dimarahi pekerja, meskipun dia memesan dua hidangan. Dia turut diarahkan makan cepat, malah kakitangan secara terbuka bertanya berapa lama lagi dia akan menghabiskan makanan. – Agensi


