Restoran makanan segera didenda $500

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 8 SEPT – Sebuah restoran makanan segera di Seria telah dikenakan kompaun $500 oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, hari ini, kerana didapati membiarkan perangkap minyak yang kotor melimpah keluar sehingga menyebabkan longkang kotor dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan di belakang kedai di Seria.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, restoran berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Bab 30 Seksyen 12 (1) (c) dan diberi masa tujuh hari untuk membayar denda berkenaan.

Jika gagal membayar denda berkenaan, kes akan dihadapkan ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan boleh didenda sejumlah $1,000 bagi kesalahan pertama dan $3,000 serta penjara tidak melebihi tiga bulan bagi kesalahan seterusnya.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria mengingatkan kepada orang ramai dan syarikat-syarikat supaya membuang sampah di tempat-tempat yang disediakan dan tidak meninggalkan sebarang jenis sampah di tempat-tempat awam bagi menjaga kebersihan alam sekitar.

Untuk sebarang aduan mengenai pembuangan sampah di tempat-tempat awam di kawasan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria di talian 8896108.

Gambar menunjukkan perangkap minyak yang melimpah ke longkang berdekatan. – Gambar serahan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria