MOSCOW, 13 JUN – Bekas restoran McDonald’s di Rusia telah diberi nama baharu iaitu “Vkusno i tochka” (Sedap. Hanya itu), menurut pemilik baharu McDonald’s rusia sebelum pelancaran pembukaan semula mereka kelmarin.
“Nama baharunya ialah Vkusno i tochka,” kata ketua pengarah kumpulan baharu, Oleg Paroyev, semasa sidang akhbar di Moscow.
Dipenuhi dengan logo baharu bagi menggantikan Golden Arches, restoran di Dataran Pushkin Moscow di mana tempat pertama McDonald’s memulakan perniagannya pada Januari 1990, sedia untuk dibuka semula.
Selain itu, sebanyak 15 daripada bekas restoran McDonald’s juga ditetapkan untuk dibuka semula di Moscow kelmarin. Oleg Paroev turut menyasarkan sebanyak 200 buah restoran akan dibuka menjelang akhir bulan ini.
Sementara itu, syarikat gergasi makanan segera, McDonald’s AS telah mengumumkan pada 16 Mei lalu bahawa ia akan keluar Rusia susulan serangan Moscow di Ukraine.
Tiga hari kemudian, ahli perniagaan Rusia, Alexander Govor, yang pernah menjadi pemegang lesen rangkaian tersebut, terus membeli McDonald’s yang memiliki operasi sebanyak 850 buah restoran itu.
Di bawah syarat penjualan itu, Govor bersetuju mengekalkan perkhidmatan pekerja selama sekurang-kurangnya dua tahun dan membiayai liabiliti keluar kepada pembekal, tuan tanah dan utiliti, kata McDonald’s.
Harga urus niaga tersebut walau bagaimanapun tidak didedahkan. Sebagai rekod, McDonald’s telah menggaji seramai 62,000 orang pekerja di Rusia. – AFP/AP
