Restoran mesir hulur bantuan makanan percuma ketika krisis

KAHERAH – “Kami bersamamu sehingga krisis berakhir,” ayat yang tertulis di tanda besar yang tergantung di pintu depan restoran di daerah Heliopolis, ibu kota Kaherah, yang menawarkan makan tengah hari secara percuma kepada orang-orang yang pendapatannya telah terjejas oleh wabak COVID-19.

Idea amal itu datang daripada Mahmoud al-Masry, pemilik restoran, ketika dia menyedari betapa besarnya krisis itu setelah pemerintah menutup sementara sekolah dan universiti, menghentikan penerbangan, menutup tempat hiburan dan pasar yang sesak sejak beberapa minggu terakhir.

“Saya tahu bahawa banyak pendapatan orang ramai telah terjejas. Saya merasa bertanggungjawab untuk menyokong negara saya dan menyokong rakan-rakan saya semasa krisis semampu yang boleh,” kata Masry.

“Kami meletakkan tanda untuk mendorong orang-orang yang malu untuk masuk ke dalam dan mengambil makanan tengah hari secara percuma,” kata Masry, sambil menambah bahawa “orang enggan pada awalnya tetapi sekarang kami menyediakan makanan tengah hari secara percuma untuk sekitar 50 buah keluarga setiap hari.”

Dapur restoran kelihatan seperti sarang lebah dengan tukang masak yang sibuk dan pekerja yang menyediakan beg-beg makanan tengah hari. Sameh Mostafa, salah seorang kakitangan dan penolong pengurus, menyatakan rasa bahagia untuk membantu orang yang berpendapatan rendah semasa krisis, dengan memperhatikan bahawa mereka membasmi kuman di restoran setiap hari, memakai sarung tangan dan menjaga kebersihan diri untuk memastikan kebersihan makanan.

Beberapa orang pekerja restoran sedang sibuk menyiapkan bekalan makanan untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan secara percuma. – Xinhua
Dua orang pekerja restoran sedang bersiap sedia melakukan penghantaran makanan-makanan percuma yang hendak disumbangkan kepada orang yang berpendapatan rendah dan petugas-petugas hospital. – Xinhua

Gambar bertarikh 4 April 2020 menunjukkan makanan percuma bagi orang yang berpendapatan rendah sedang disediakan di sebuah restoran di Kaherah, Mesir. – Xinhua04

“Setiap satu set makanan dihidangi dengan nasi, sepotong ayam panggang, roti, salad dan sup. Makanan keluarga pula mengandungi seekor ayam dan lebih banyak nasi dan roti, selain itu juga diberikan tisu serta sudu dan garpu plastik,” kata lelaki berumur 30 tahun tersebut.

Pada hari 8 April lalu, kabinet Mesir memutuskan untuk melanjutkan perintah berkurung yang bermula pada 25 Mac selama dua minggu lagi hingga 23 April ini, tetapi mengurangkannya masanya dari 11 jam menjadi 10 jam. Pemerintah Mesir dan rakyat menghargai usaha doktor dan jururawat, dirujuk kepada mereka sebagai ‘tentera putih Mesir.’

Catherine Raafat, seorang wanita muda yang memiliki sebuah restoran kecil bersama- kakaknya, memulakan sekitar dua minggu yang lalu inisiatif untuk menyediakan makanan percuma kepada petugas perubatan di hospital awam berdekatan sebagai menghargai usaha mereka yang luar biasa.

Wanita muda itu mengatakan bahawa dia terinspirasi oleh video dalam talian mengenai bagaimana pihak perubatan Cina diterima seperti pahlawan negara setelah mereka kembali dari Wuhan berikutan kejayaan mereka mengendalikan penyebaran wabak koronavirus.

“Kami memulakan dengan memberikan 40 set makanan kepada petugas hospital kanser berdekatan dan kemudian kami memberikan sekitar 65 set makanan kepada kakitangan perubatan di sebuah hospital, kedua-duanya berdekatan dengan wilayah Giza,” kata Raafat kepada media di restorannya di pusat bandar Kaherah.

Dia menambah bahawa restorannya kini menyediakan kira-kira 400 set makanan, 350 daripadanya akan dihantar ke hospital dan 50 kepada pekerja harian berpendapatan rendah, dengan setiap hidangan terdiri daripada sepotong ayam, nasi, salad, sayur-sayuran yang dimasak, sup dan roti. Wanita itu mengatakan bahawa dia mengalu-alukan restoran lain untuk bersama-sama menyokong pihak perubatan Mesir semasa krisis.

Terletak di kejiranan Imbaba di Giza, salah sebuah restoran tempatan yang paling popular menyokong usaha negara untuk memerangi COVID-19 dengan cara yang berbeza. Pemiliknya menutup restoran yang selalu sesak pada pertengahan bulan Mac lalu selama beberapa minggu dan memberikan semua kakitangannya cuti bergaji, sejajar dengan langkah-langkah penjarakan sosial di negara itu.

“Kita semua berada di kapal yang sama, termasuk pemerintah, rakyat, kaya dan miskin. Jadi, kita semua harus berdampingan dan berganding bahu untuk mengatasi krisis,” kata pemilik restoran, Nasser al-Prince. – Xinhua