Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Restoran pedalaman raih pengiktirafan dunia

    PATERNOSTER, Afrika Selatan – Restorannya yang berada di kawasan pedalaman Afrika Selatan baru-baru ini telah memenangi restoran terbaik pertama dunia, namun cef Kobus van der Merwe menegaskan bahawa kemasyhuran itu tidak akan mengubah apa-apa.

    “Apabila saya melihat calon-calon lain dalam senarai itu, saya sebenarnya terkejut, kerana saya berpendapat bahawa kami berada jauh dari liga itu,” senyum Van der Merwe, 38, yang tidak begitu serius dalam bidang masakan sehingga beliau berusia 30 tahun.

    Berbeza dengan kebanyakan pesaing yang tercalon di dalam Anugerah Restoran Dunia baru-baru ini, tujuh set menu hidangan rasa yang berada di Wolfgat adalah berharga AS$60 (52 euro), suatu jumlah yang agak kecil berbanding hidangan-hidangan yang disediakan di restoran-restoran terkemuka Paris.

    Van der Merwe juga mencari bahan harian di sekitar pantai Atlantik berhampiran restorannya di Paternoster, dan juga membuat roti dan menteganya sendiri.

    “Saya menyemak e-mel saya dan mendapati bahawa terdapat kenyataan rasmi yang memberitahu kami telah dicalonkan. Jadi kami merasa terkejut dan langsung tidak mengetahuinya,” kata Van der Merwe.

    Restoran kecil di Afrika Selatan iaitu Wolfgat yang terletak di Paternoster, Afrika Selatan telah dinobatkan sebagai ‘Restoran Terbaik’ dan juga restoran destinasi terbaik bagi Anugerah Restoran Dunia yang julung-julung kali diadakan di Paris baru-baru ini. – AFP
    Cef Kobus van der Merwe (kiri) sedang menyediakan hidangan makanan bagi perkhidmatan makan tengah hari di Restoran Wolfgat, Paternoster, Afrika Selatan. – AFP
    Antara hidangan yang disediakan di Wolfgat. – Agensi
    Restoran Wolfgat telah dinobatkan sebagai restoran terbaik dunia yang julung-julung kali diadakan baru-baru ini. – Agensi

    Restoran ini terlihat sederhana di Cape Barat dan Van der Merwe percaya bahawa asas-asas masakan yang mapan mampu menambat hati para hakim di ibu negara Perancis itu, yang telah dinobatkan sebagai Restoran Terbaik.

    Bekas wartawan itu, yang hanya mampu menghidangkan makanan kepada 20 orang sahaja dalam satu-satu masa, memberitahu AFP: “Kami seperti mencari langkah kami sendiri pada permulaannya.”

    “Saya berada di dapur kecil, melakukan semua jenis masakan dan kami menghidangkannya semua, jadi kami perlu memikirkannya semula,” katanya yang terlihat memakai baju putih dan apron hitam itu.

    “Tetapi anugerah penghargaan ini tidak akan mengubah apa-apa mengenai skala operasi Wolfgat,” katanya.

    “Skala yang kami lakukan adalah mapan dan itulah yang sesuai untuk kami,” katanya.

    Van der Merwe berikrar untuk tidak menaikkan harga walaupun berjaya menempa nama baharu.

    “Ia adalah seperti nisbah emas, antara jumlah tetamu yang kami hidangkan, apa yang boleh kami dapatkan dari bahan-bahan asli semula jadi, apa yang pasukan kami (boleh lakukan) dan saiz bangunan yang begitu selesa.”

    Antara hidangan makan malam yang disediakan di ruang teres beratapkan jerami di Wolfgat itu ialah siput sudu teluk yang dihidangkan dengan kubis bunga dan saderi gumuk yang dihidangkan bersama sorghum, snoek roe dan wild sage. Walaupun tempat tarikannya itu berada jauh di pedalaman, Van der Merwe mengakui bahawa beliau menghadapi masalah dan halangan yang mana tidak dialami oleh mana-mana cef terkemuka di bandar-bandar utama lainnya.

    “Kadang-kadang, ianya seperti memasak di kawasan bencana, kami menghadapi masalah seperti terputus bekalan elektrik dan juga air oleh kerana takungan setempat telah habis. Namun kesemua masalah dan cabaran itu perlu juga kami hadapi dengan sebaiknya,” katanya.

    “Dari situ, ia membuatkan anda lebih kreatif…kami hanya membakar roti-roti dalam api. Sering kali juga apabila tetamu datang berkunjung dan mereka mahu membuka lampu tandas dan saya berkata,’Minta maaf, kami tiada bekalan elektrik’.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda