Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Restoran pekerja sindrom Down

    MAXIME LEJOT mengambil kertas pesanan daripada salah satu meja pelanggan sebelum membawanya ke ruang dapur. Cef bertugas dan beberapa orang pembantunya kemudian segera menyiapkan hidangan yang dipesan.

    Tiada suasana tegang kelihatan sebaliknya kakitangan di Le Reflet begitu tenang dan ceria mengendalikan restoran itu walaupun penuh dengan pelanggan. “Suasana ceria dan menghiburkan menjadi salah satu karakteristik istimewa di sini,” ujar Lejot.

    Bagaimanapun, apa yang lebih menarik ialah restoran yang terletak di Nantes kira-kira 321 kilometer dari barat daya Paris, Perancis itu mengetengahkan kakitangan yang sebahagian besarnya terdiri daripada pesakit sindrom Down.

    Dibuka pada Disember tahun lalu, Le Reflet merupakan restoran pertama seumpamanya di Perancis yang memiliki pekerja sindrom Down. Pengasasnya, Flore Lelievre, 26, berkata, enam daripada 10 orang pekerja di premis tersebut menghidap sindrom Down. Dua orang daripadanya berkhidmat sebagai cef, manakala selebihnya sebagai pelayan.

    “Salah seorang daripada adik saya menghidap sindrom Down, jadi saya terpanggil untuk membuka restoran ini bagi menggalakkan integrasi dalam kalangan individu istimewa ini. “Bagi merealisasikan idea itu, saya menyediakan sebuah tempat dengan suasana bekerja supaya pesakit dengan sindrom ini dapat menjalani kehidupan berkerjaya sama seperti manusia normal,” katanya seperti dipetik portal The Local France.

    Dua orang daripadanya berkhidmat sebagai cef, manakala selebihnya sebagai pelayan.
    Dua orang daripadanya berkhidmat sebagai cef, manakala selebihnya sebagai pelayan.
    Dibuka pada Disember tahun lalu, Le Reflet merupakan restoran pertama seumpamanya di Perancis yang memiliki pekerja sindrom Down.
    Dibuka pada Disember tahun lalu, Le Reflet merupakan restoran pertama seumpamanya di Perancis yang memiliki pekerja sindrom Down.

    Pinggan khas

    Lelievre yang juga seorang pelajar jurusan seni bina menggunakan latar belakang pendidikannya untuk mereka bentuk sebuah restoran yang selesa dan mudah buat pesakit sindrom Down. Dirancang secara teliti kira-kira tiga tahun dahulu, restoran itu mempunyai susun letak ruang yang luas dengan kerusi serta meja makan diatur dalam barisan kemas.

    Untuk membuat pesanan, pelanggan hanya perlu menandakan menu pilihan dengan cap di atas kertas menu yang disediakan dan bukannya memberitahu pelayan secara lisan. Terdapat tiga pilihan juadah bagi setiap menu pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut. Makanan juga daripada jenis yang mudah disediakan dan tidak memerlukan suhu tinggi bagi merendahkan risiko tekanan dalam kalangan pekerja.

    “Kami menyediakan kod warna dan visual di setiap meja untuk memudahkan mereka melayan pelanggan berdasarkan pesanan masing-masing,” jelas Lelievre. Selain itu, Lelievre bekerjasama dengan pengeluar seramik Perancis untuk membuat rekaan pinggan mangkuk khas dengan alur tapak tangan di bawahnya bagi memudahkan pelayan istimewa membawa makanan.

    “Kemahiran motor halus mereka agak terhad, jadi alur tapak tangan ini dapat meningkatkan genggaman selain membuatkan mereka lebih yakin.

    Tiada suasana tegang kelihatan sebaliknya kakitangan di Le Reflet begitu tenang dan ceria mengendalikan restoran itu walaupun penuh dengan pelanggan.
    Tiada suasana tegang kelihatan sebaliknya kakitangan di Le Reflet begitu tenang dan ceria mengendalikan restoran itu walaupun penuh dengan pelanggan.

    “Di sini, kami tidak memanggil pekerja istimewa ini dengan nama trisomique (perkataan Perancis untuk pesakit sindrom Down), sebaliknya mereka dikenali sebagai individu luar biasa” kata Lelievre.

    Berdikari

    Salah seorang pelayan, Pauline Bibard berkata, dia berasa gembira dapat bekerja di situ kerana dapat belajar berdikari. “Keluarga saya gembira dan saya juga berasa seronok bekerja di sini. Kami belajar menghidang makanan, menyusun kutleri dan pinggan serta melayan pelanggan,” ceritanya.

    Bagi Lejot, dia berasa bertuah kerana dapat bekerja dengan pasukan yang hebat. “Mereka berkomunikasi dengan cara yang baik.

    Saya juga seronok apabila menerima duit gaji setiap bulan,” tuturnya.

    Sudah hampir lapan bulan beroperasi, Le Reflet menerima maklum balas positif daripada orang ramai apabila tidak henti-henti dikunjungi pelanggan. “Ia suatu pengalaman hebat buat saya. Pekerja sindrom Down di sini membawa suatu kelainan kepada industri makanan dan minuman,” katanya.

    Lelievre berhasrat untuk menubuhkan lebih banyak restoran sedemikian di Perancis pada masa akan datang.

    “Golongan ini patut diberi peluang agar mereka dapat berdikari,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda