Saturday, February 8, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Restoran pertama Syria di Lisbon lambang kesatuan pelarian

    LISBON – Barisan panjang di luar restoran pertama Syria di Lisbon pada hari pembukaannya menunjukkan selera makan bukan hanya untuk makanan Syria tetapi juga untuk integrasi di salah satu daripada beberapa negara Eropah yang cuba mengalu-alukan lebih banyak pelarian.

    Pelarian Syria telah menjalankan restoran Mezze selepas menerima wang dana bagi mengubah suai bekas kedai daging di salah sebuah pasar di kawasan kejiranan Portugis, Arrorios.

    Leonor Rodrigues adalah salah seorang daripada pelanggan Mezze selepas ianya dibuka pada bulan September lalu.

    “Kebab ayam, hummus, semuanya enak sekali. Minggu depan saya akan kembali, itu pasti,” kata penterjemah itu.

    “Tempat ini benar-benar cantik, enak dan ianya baik untuk mengintegrasikan pelarian dengan cara ini.”

    Restoran pertama Syria di Lisbon, Mezze, yang diusahakan oleh belasan pelarian.

    Restoran itu adalah hasil daripada kempen penubuhan tabung dana, yang berjaya dikumpul sekitar 23,000 euro (AS$27,000), yang dimulakan oleh bekas wartawan Francisca Gorjao Henriques, yang mengasaskan persatuan ‘Pao a Pao’ (‘Roti ke Roti’) pada tahun 2016 untuk membantu pelarian.

    “Sebaik sahaja saya mengumumkan projek restoran ini dan mengatakan bahawa ia bertujuan untuk keluarga-keluarga Syria, orang ramai segera menyertai”. Kempen itu adalah untuk mengumpulkan wang bagi mengubahsuai dan melengkapkan perkakas bangunan, katanya.

    Di dalam restoran tersebut, ianya sukar untuk mengendahkan aroma yang lazat yang berasal dari dapur, di mana belasan warga Syria bekerja, dengan paparan beberapa kisah-kisah mereka tercatat pada menu.

    Salah seorang kakitangan, Rafat, mengakui bahawa Lisbon bukanlah destinasi impiannya ketika dia melarikan diri dari Syria hampir tiga tahun yang lalu, di mana dia menetap di Mesir terlebih dahulu sebelum berpindah ke Portugal setahun yang lalu.

    Rafat berusia 21 tahun kini tinggal di pinggir utara Lisbon bersama dengan ibunya, Fatima, dan dua adik perempuannya, Rana dan Reem, yang juga bekerja di Mezze. Ayah Rafat, yang menjalankan restoran tradisional di Damsyik, meninggal dunia dalam perang saudara yang telah membunuh lebih daripada 330,000 orang sejak tahun 2011.

    “Apa yang saya tahu mengenai Portugal adalah pemain bola sepak Cristiano Ronaldo dan Nani. Saya menyangka ia adalah sebuah negara yang miskin. Keutamaan saya adalah Jerman,” kata Rafat, yang tidak mahu memberikan nama penuhnya kepada AFP.

    Tetapi dia berkata dia “sangat gembira” untuk menamatkan perjalanannya di Portugal, di mana dia berharap untuk menyertai abangnya, yang tinggal di Turki bersama isterinya dan anak lelaki mereka.

    “Kami merasa aman dan baik di sini. Warga Portugis sangat bertolak ansur dan kami tidak pernah mempunyai masalah. Adik perempuan saya boleh pergi ke pantai memakai tudung tanpa diperhatikan atau dipersoalkan,” kata Rafat.

    Kebanyakan negara-negara Eropah telah menahan untuk mengambil lebih banyak pelarian selepas krisis pelarian yang melanda benua itu pada tahun 2015, tetapi Portugal pula berada di sebaliknya.

    Kewujudan restoran ini adalah hasil daripada kempen penubuhan tabung dana, yang berjaya dikumpul sekitar 23,000 euro (AS$27,000), yang dimulakan oleh bekas wartawan Francisca Gorjao Henriques, yang mengasaskan persatuan ‘Pao a Pao’ (‘Roti ke Roti’) pada tahun 2016 untuk membantu pelarian.
    Di dalam restoran Mezze ini, ianya sukar untuk mengendahkan aroma yang lazat yang berasal dari dapur, di mana belasan warga Syria sedang giat melakukan kerja-kerja mereka, dengan paparan beberapa kisah-kisah mereka tercatat pada menu.

    Suruhanjaya Eropah meminta Portugal untuk mengambil 5,000 pendatang – majoritinya dari Syria, Iraq dan Afghanistan – di bawah rancangan untuk memindahkan 160,000 pencari suaka dari Greece dan Itali ke sebahagian besar 28 negara anggota EU.

    Walaupun kuota terbukti tidak begitu popular dengan beberapa bekas kerajaan komunis timur Eropah, kerajaan Portugis ditawarkan untuk menggandakan kuotanya kepada 10,000 orang.

    Tetapi negara itu hanya menerima 1,400 setakat ini. Dan antara mereka, lebih separuh telah meninggalkan Portugal, menurut anggaran rasmi terkini. Pihak berkuasa Portugis mengatakan pelarian yang meninggalkan negara itu adalah disebabkan dengan tarikan negara-negara lain dari segi prospek ekonomi yang lebih baik, seperti Jerman atau Britain.

    Mereka yang tinggal di Portugal, hanya satu pertiga daripadanya berjaya memasuki pasaran kerja, kata kerajaan, mengakui terlalu ramai yang masih menganggur. Rafat berkata Pao a Pao, yang membantu pelarian mendapatkan pekerjaan dan mengintegrasikan, telah membantu ibu dan adik beradiknya merasa seperti berada di negaranya sendiri.

    “Bagi saya, saya sudah pun bekerja di sebuah restoran kebab. Tetapi bagi wanita, yang sering tinggal di rumah, ia adalah lebih sukar,” katanya.

    Tetapi dia berkata dia tidak faham mengapa pelarian Syria lain meninggalkan Portugal.

    “Saya mempunyai rakan-rakan Syria yang tidak memahami bahasa itu di mana ia adalah kunci bagi sesebuah negara. Mereka tidak cuba untuk belajar dan itu sebabnya mereka tidak dapat mengintegrasikan,” katanya.

    Mezze menyajikan hidangan tradisional Syria seperti yalanji, salad fattoush, kibbeh dan baklava yang mana kakitangannya sudah memasaknya untuk sekian lama, namun mereka masih perlu belajar bagaimana untuk bekerja di bawah syarat-syarat yang diperlukan bagi se-sebuah restoran di Portugal.

    Semangat alu-aluan daripada negara itu sekali lagi menyelamatkan mereka, di mana sebuah sekolah di Lisbon telah menawarkan latihan untuk mereka dan, pada masa yang sama, memberikan pelarian kesempatan untuk mempelajari beberapa rahsia gastronomi Eropah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda