Friday, March 31, 2023
27.2 C
Brunei

-

Restoran purba tonjol kebangkitan arkeologi Iraq

BAGHDAD – Satu misi arkeologi antarabangsa telah menemui sisa-sisa yang dipercayai sebagai sebuah restoran atau kedai minum kuno berusia 5,000 tahun di bandar kuno Lagash di selatan Iraq.

Penemuan dewan makan purba lengkap dengan sistem asas penyejuk udara, beratus-ratus mangkuk diperbuat dari tanah kasar dan sisa-sisa ikan yang terlebih masak telah ditemui dan diumumkan pada akhir Januari oleh pasukan yang dipimpin oleh University of Pennsylvania sekali gus mendapat perhatian dunia.

Penemuan ini terjadi di tengah-tengah kebangkitan semula arkeologi di negara yang sering dipanggil sebagai pemangkin kebudayaan, tetapi penerokaan arkeologi terhenti sejak konflik selama beberapa dekad sebelum dan selepas pencerobohan Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.

Kejadian itu melibatkan keruntuhan tapak-tapak yang kaya pelbagai koleksi di negara itu dengan ribuan artifak dicuri.

“Impak daripada penjarahan terhadap bidang arkeologi sangat teruk,” kata Laith Majid Hussein, pengarah Lembaga Kepurbakalaan dan Warisan Iraq, kepada The Associated Press.

Orang ramai melawat Muzium Negara Iraq di Baghdad, Iraq. – AP
Penggalian sebuah negara kota Lagash yang berusia 5,000 tahun, berhampiran Nasiriyah, Iraq. – AP
Penemuan yang dipercayai sebagai jambatan tertua di dunia, berusia kira-kira 4,000 tahun, dilihat oleh negara kota purba Lagash. – AP
Serpihan tembikar dilihat di tapak negara kota Lagash purba berusia 5,000 tahun. – AP
Orang ramai melawat Muzium Negara Iraq di Baghdad, Iraq. – AP

“Malangnya, peperangan dan tempoh ketidakstabilan yang lama telah mempengaruhi keadaan di negara itu secara umum.”

Dengan keadaan sedikit tenang sejak beberapa tahun terakhir, penyelidikan arkeologi telah kembali. Pada masa yang sama, ribuan artifak yang dicuri telah dipulangkan sekali gus menawarkan harapan untuk kebangkitan arkeologi.

“Menjadi lebih baik atau kembali pulih,” kata Jaafar Jotheri, seorang profesor arkeologi di Universiti Al-Qadisiyah, menggambarkan keadaan terkini arkeologi di negaranya.

Iraq mempunyai enam Tapak Warisan Dunia UNESCO, di antaranya bandar kuno Babylon, tempat beberapa empayar kuno berada di bawah pemerintah seperti Hammurabi dan Nebuchadnezzar.

Dalam beberapa tahun sebelum pencerobohan AS pada tahun 2003, hanya sebilangan kecil pasukan antarabangsa yang datang untuk menggali tapak di Iraq.

“Semasa pemerintahan Saddam Hussein, ahli arkeologi asing yang datang berada di bawah pemantauan ketat oleh kerajaan Baghdad, membataskan hubungan mereka dengan penduduk tempatan.

Tiada peluang untuk memindahkan kemahiran atau teknologi ke arkeologi tempatan,” kata Jotheri, yang bermakna kehadiran antarabangsa tidak memberikan manfaat kepada Iraq.

Tapak purba negara mengalami dua gelombang kehancuran, kata Jotheri, yang pertama selepas sekatan antarabangsa yang dikenakan berikutan pencerobohan Iraq terhadap Kuwait pada tahun 1990 yang menyebabkan rakyat Iraq mencari artifak dan menggali sebagai bentuk pendapatan, dan yang kedua pada tahun 2003 selepas pencerobohan Amerika Syarikat, di mana semuanya hancur.

Dalam ketiadaan keselamatan dan juga peningkatan aktiviti kumpulan militan Islamic State, penggalian hampir terhenti selama hampir satu dekad di selatan Iraq, tetapi di kawasan utara yang lebih stabil yang dikawal oleh Kurdi, penggalian masih diteruskan di mana tapak-tapak arkeologi purba telah digali dan artifak di seludup keluar negara.

Penggalian di Lagash, yang pertama kali digali pada tahun 1968, telah ditutup selepas tahun 1990, dan tapak itu kekal tidak aktif sehingga tahun 2019.

Berbeza dengan tapak lain, tapak itu tidak dijarah oleh pencuri artifak di antara tempoh tersebut disebabkan oleh usaha puak yang tinggal di kawasan itu, kata Zaid Alrawi, ahli arkeologi Iraq yang menjadi pengurus projek di tapak itu.

“Mereka menganggap tapak ini sebagai hartanah mereka sendiri dan mengusir sesiapa yang cuba mencuri,” katanya.

Kompleks kuil dan sisa bangunan telah ditemui dalam penggalian sebelumnya, jadi apabila ahli arkeologi kembali pada tahun 2019, kata Alrawi, mereka menumpukan penggalian kepada kawasan yang memberikan petunjuk tentang kehidupan orang biasa. Mereka mula pada bengkel pembuatan tembikar yang mengandungi beberapa buah tanur, lengkap dengan patung buangan yang jelas dibuat oleh pekerja yang bosan dan biji kurma yang menjadi snek mereka semasa bekerja.

Penggalian lebih dalam di kawasan sekitar bengkel itu menemukan sebuah bilik besar yang mengandungi dapur untuk memasak.

Kawasan itu juga mempunyai bangku tempat duduk dan sistem penyejukan yang dibuat dengan lapisan periuk tanah yang disimpan ke dalam tanah dengan kepingan tanah liat.

Tapak ini dipercayai berasal kira-kira 2,700 SM dan Alrawi percaya ia mungkin sebuah kafeteria untuk memberi makan pekerja dari bengkel periuk di sebelahnya.

Seiring dengan pengembangan penerokaan arkeologi, dana antarabangsa disalurkan ke dalam pemulihan tapak warisan yang rosak seperti masjid al-Nouri di Mosul, dan pihak berkuasa Iraq telah menggesa untuk memulangkan artifak-artifak yang dicuri dari negara-negara luar seperti Lubnan dan Amerika Syarikat.

Bulan lalu, muzium kebangsaan Iraq mula dibuka secara percuma pada hari Jumaat.

Keluarga berjalan-jalan melalui lorong yang mempamerkan tablet Assyrian, sebuah tablet tanah liat kecil yang berusia 3,500 tahun yang dirampas dari sebuah muzium Iraq 30 tahun yang lalu dan dipulangkan dari AS dua tahun yang lalu, yang merupakan artifak sangat berharga.

Tablet ini adalah di antara 17,000 artifak yang dicuri yang dipulangkan ke Iraq dari AS.
Ebtisam Khalaf, seorang guru sejarah yang merupakan salah seorang pengunjung ke muzium tersebut, berkata, “Inisiatif ini sangat penting kerana kita boleh melihat perkara-perkara yang hanya kita dengar sahaja sebelum ini.”

Sebelum ini, katanya, pelajar-pelajarnya hanya boleh “melihat artifak-artifak ini dalam buku-buku sahaja. Tetapi sekarang kita boleh melihat artifak-artifak yang indah ini secara langsung.” – AP

Artikel sebelum iniEmma tutup telinga
Artikel seterusnya80 pain darah berjaya dikumpul
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Otai impi meluncur ombak hingga usia 100

FUJISAWA, JEPUN, 30 MAC – Seorang warga emas membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti meluncur ombak. Seiichi Sano mula meluangkan...
- Advertisment -